KUALA LUMPUR — Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memasukkan kandungan serta elemen yang berkaitan pilihan raya dalam mata pelajaran Sejarah, pendidikan sivik serta aktiviti kokurikulum.
Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, ini merupakan usaha membentuk karakter murid menjadi warganegara yang bertanggungjawab dan cinta kepada negara bermula dari sekolah rendah.
“Ini termasuk latar belakang pengetahuan asas sejarah negara melalui tema ‘Sejarah Awal Negara, Kedaulatan Negara dan Kemakmuran Negara Kita’.
“Selaras dengan kematangan usia dan tahap pengetahuan, murid sekolah menengah didedahkan dengan lebih mendalam tentang politik melalui tema ‘Sejarah Kita dan Dunia, Warisan Bangsa, Kedatangan Kuasa Asing, Pembinaan Negara serta Malaysia dan Masa Hadapan’, katanya.
Beliau berkata demkian ketika menjawab pertanyaan dewan rakyat oleh Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Dr Wee Jeck Seng mengenai tahap kesediaan Kementerian memperkenalkan subjek pilihan raya atau memasukkan elemen Undi18 dalam mata pelajaran di peringkat sekolah menengah seperti yang dituntut oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP).
Bagi memupuk kesedaran politik melalui aktiviti kokurikulum pula, KPM jelasnya menjalin kerjasama dengan Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen), bagi melaksanakan pelbagai aktiviti patriotisme melalui Kelab Malaysiaku.
Tambahnya ini juga bertujuan supaya murid memahami kepentingan peranan mereka sebagai warganegara yang bertanggungjawab untuk mengekalkan keharmonian dan kestabilan negara.
“KPM turut menyokong program yang dianjurkan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) melalui Kelab Rukun Negara yang merangkumi pelbagai aktiviti berteraskan kepada pengukuhan pengetahuan, pemahaman, penghayatan dan pengamalan Rukun Negara.
“KPM berpandangan pelaksanaan kandungan kurikulum dan aktiviti kokurikulum sedia ada membolehkan murid memperoleh pengetahuan, pemahaman serta penghayatan tentang pendidikan politik dan perlembagaan persekutuan. KPM yakin bahawa pengetahuan dan penghayatan tersebut boleh diaplikasikan dalam kehidupan harian serta dapat mempersiapkan murid untuk melaksanakan hak dan tanggungjawab mereka kepada negara,” katanya.