Ahli Parlimen Pembangkang Boleh Mohon Peruntukan Melalui Ketua Whip

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen pembangkang yang tidak mendapat peruntukan daripada kerajaan boleh membuat permohonan melalui Ketua Whip bagi tujuan itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ahli, berkata masih ada Ahli Parlimen pembangkang diberikan peruntukan tetapi kadarnya berbeza mengikut pentadbiran, namun ada yang tidak menerima sebarang peruntukan.

“Sebenarnya peruntukan kepada Ahli Parlimen adalah berbeza kadarnya mengikut pentadbiran (kerajaan), ada pentadbiran yang hanya berikan peruntukan RM100,000 kepada Ahli Parlimen pembangkang.

“Ada pentadbiran langsung tidak berikan walau satu sen kepada Ahli Parlimen pembangkang… ada pentadbiran yang memberikan peruntukan tapi perlu tandatangan memorandum persefahaman (MoU) dulu… yang tidak tandatangan, tidak dapat peruntukan.

“Namun asasnya kerajaan hari ini sentiasa mempertimbangkan permohonan tapi ia melihat di peringkat awal untuk memastikan pengurusan dan perancangan fiskal kewangan negara diberikan penekanan utama,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Larry Soon @ Larry Sng Wei Shein (PBM-Julau) sama ada kajian dibuat untuk memberikan peruntukan sama rata atau jumlah bersesuaian yang adil untuk Ahli Parlimen pembangkang.

Pada masa sama, menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sama ada Kerajaan Perpaduan boleh memberikan peruntukan yang adil dan saksama kepada semua Ahli Parlimen, Armizan berkata, kerajaan sentiasa terbuka dan bersedia mempertimbangkan permohonan terbabit.

“Mana-mana Ahli Parlimen pembangkang yang belum menerima permohonan, berundinglah melalui Ketua Whip untuk dipertimbangkan peruntukan… asasnya keterbukaan kita sebagaimana komitmen diberikan kerajaan dengan adanya kedudukan kewangan yang baik, saya fikir kerajaan tidak akan ragu untuk mempertimbangkan peruntukan Ahli Parlimen dari seluruh kawasan demi kepentingan rakyat,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat