KUALA LUMPUR: Pelakon, penyanyi dan komposer muda, Naim Daniel, 26, bakal tampil dengan projek band dalam masa terdekat.
Naim berkata, dia sebagai vokalis akan bersama empat rakan pemuzik membentuk kumpulan.
“Saya akan tampil dengan projek band. Sebelum ini, saya dikenali sebagai penyanyi solo dan komposer, namun fokus saya mahu dikenali bersama band.
“Saya membesar dengan mendengar lagu banyak kumpulan muzik. Pernah ada ketikanya saya rasa tidak lagi seronok membuat persembahan secara solo, jadi saya memerlukan satu tekanan baharu.
“Saya jenis tidak suka duduk dalam zon selesa. Jadi, saya merancang melakukan sesuatu perkara yang tidak pernah fikir nak buat atau ada pengalaman.
“Mungkin bersama kumpulan muzik agak asing, tetapi tidak salah saya mencuba dan bermula daripada kosong,” katanya kepada BH Online.
Pemilik nama Muhammad Naim Daniel Baharin itu berkata, projek bersama band diusahakan sejak tahun lalu lagi, namun baru dapat direalisasikan, tahun ini.
“Saya bersama empat rakan pemuzik baru dapat duduk berbincang, baru-baru ini.
“Kami tampil berlima dan saya adalah vokalis. Selebihnya, rakan bermain gitar, dram, keyboard dan sebagainya.
“Saya mengenali mereka menerusi media sosial. Saya juga mendapat nasihat daripada vokalis Hujan, Noh Salleh terlebih dahulu.
“Noh jadi rujukan saya untuk mengemudi projek band ini. Malah, pembabitan saya dalam konsert bersama Hujan, baru-baru ini juga antara langkah awal saya sebelum tampil dengan band.
“Nazrin dari band Sekumpulan Orang Gila juga memberi sokongan kerana saya dilihat lebih ‘hidup’ bersama band,” katanya.

Namun, katanya, nama kumpulan belum diputuskan.
“Bunyian juga akan berbeza sebab saya akan asingkan projek solo dan band.
“Untuk band ini, saya akan bawa genre lain daripada projek solo Naim Daniel,” katanya yang kini giat menjalani latihan untuk Anugerah Juara Lagu Ke-37 (AJL37) pada 12 Februari depan.
Kongsi lanjut, Naim berkata, dia akan memperkenalkan anggota band ketika tampil dalam Konsert Patah Hati yang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 15 Mac depan.
“Untuk Konsert Patah Hati ini, anggota band akan datang sebagai pemuzik undangan terlebih dahulu untuk membina keserasian.
“Tetapi, saya tetap akan memperkenalkan mereka anggota kumpulan yang ditubuhkan,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert Patah Hati, baru-baru ini.
Selain Naim, Konsert Patah Hati anjuran ANS Diversified Sdn Bhd turut menampilkan Ernie Zakri, Noh, Aisha Retno, Nastia dan Insomniacks.
Tiket untuk Konsert Patah Hati boleh dibeli menerusi web www.ticket2u.com.my.
Berita Harian