KUALA LUMPUR – Pengembara asing yang masuk ke Malaysia akan dikawal lebih ketat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kawalan ketat kemasukan pengembara asing ke Malaysia tidak menumpukan kepada mana-mana negara.
Tegas Anwar, masalah kesihatan rakyat adalah perkara paling utama begitu juga soal pelancongan serta pertumbuhan ekonomi sekali gus tidak boleh mengatasi kepentingan mengawal dan merawat rakyat daripada segi wabak serta jangkitan, termasuk Covid-19.
“Sekarang kita tidak ambil pendirian untuk mendiskriminasi mana-mana negara kerana kalau dilihat kadar jangkitan di China, kita tahu kematian di Amerika Syarikat (AS) juga tinggi dan beberapa negara lain.
“Kita ambil tindakan menyelamatkan rakyat kita, jadi sesiapa saja yang masuk harus dipantau dan dikenakan syarat sama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Perdana Putra, Putrajaya, pada Rabu.