TIOMAN – PAS Pahang menzahirkan kekesalan dengan sikap Umno yang pada perjuangan asalnya membela Melayu dan Islam namun kini berubah menjadi pembela DAP.
Susulan itu, Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar menegaskan PAS di negeri itu akan menjadi pembangkang dengan majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana tidak bersedia bersama Pakatan Harapan (PH).
“Memang kesal sangatlah sikap sepatutnya dia (Umno) jadi parti yang membela orang Melayu, Islam tetapi kita tengok dia jadi pembela DAP pula.
“Kita jadi pembangkang kerana kita tak bersedia untuk bersama sama dengan PH,
kita akan jadi pembangkang bagi tujuan semak dan imbang.
“Kami (PAS) dah biasa jadi pembangkang, Umno yang tak pernah jadi pembangkang sebab itu dia sanggup kerjasama dengan PH. Ini satu tindakan yang tidak munasabah bagi Umno,” bidas Rosli ketika ditemui media malam tadi.
Dalam pada itu, tambah Rosli lagi Umno parti Melayu yang lama berjuang dan di dalam Barisan Nasional (BN) pun ada komponen MCA dan MIC sedangkan mereka pun tidak boleh terima gabungan dengan DAP.
Jelasnya, BN tidak menghormati orang bukan Islam yang ada dalam gabungannya sendiri.
“MCA Cina pun tak boleh terima DAP, Umno boleh terima DAP ini tak masuk akal.
“Di Pahang ini, Umno masuk DUN nanti dia faham lah, kita majoriti jadi pembangkang dia sendiri akan rasa malu,” katanya.
Rosli juga mengimbas pertemuan antara PAS dan Umno bagi perbincangan kerjasama membentuk Kerajaan Negeri Pahang sebelum ini yang pada akhirnya Umno memilih bersama PH kerana ditawarkan jawatan Menteri Besar.
“Orang Pahang pun rasa tak munasabah hanya semata-mata kerana dia nak jadi Menteri Besar, kerana jawatan.
“Kita PAS layak mohon jawatan Menteri Besar sebab kita majoriti, dia (Umno) yang tak layak mohon Menteri Besar dia minoriti.
“Dakwaan kononnya PAS nak semua jawatan Exco itu menipu, membohong tak pernah ada (dalam rundingan) PAS nak semua Exco. Tapi kalau Umno nak jadi Menteri Besar, komposisi Exco biarlah sama banyak- logik. Namun dia nak bersama PH,” ujarnya.
Sementara itu Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah memberitahu, PN di Pahang akan jadi pembangkang bermaruah bukannya pengemis.
“Orang menang 17 kerusi DUN dapat satu jawatan Exco, manakala yang menang lapan ditawar dua kerusi Exco.
“PN Pahang akan jadi pembangkang bermaruah bukan pengemis. Kita akan berkhidmat untuk rakyat demi rakyat.
Tak mengapa jadi pembangkang tak “bermakna kita duduk tepi longkang, kita berkhidmat. Ini takdir Allah, nak berlawan dalam DUN,” katanya.