KUALA LUMPUR- Keputusan yang dicapai dalam perbincangan Top 5 Umno akan dibawa dan diluluskan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno malam ini.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Khaled Nordin menyatakan mesyuarat Top 5 Umno yang berlangsung petang ini berjalan lancar.
“Mesyuarat berjalan baik, akan bawa ke MKT UMNO untuk diluluskan.
“Bincang macam-macam hal,” katanya ringkas di Menara Datuk Onn pada Jumaat.
Kelima-lima pimpinan tertinggi Umno itu hadir bagi mencari titik temu tarikh PRU-15 yang sedang hangat diperdebatkan semua parti politik di negara ini.
Pertemuan penting itu kelihatan mesra dan damai yang dipengerusikan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan, tiga Naib Presiden Umno iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Sebelum ini, Ismail Sabri yang juga Perdana Menteri memberitahu tempoh untuk mengadakan PRU-15 dalam tahun ini masih terbuka dan tarikh itu akan ditentukan selepas mesyuarat lima pemimpin tertinggi Umno.