KUALA LUMPUR -Bayaran Fasa 2 Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) melibatkan peruntukan sebanyak RM1.11 bilion dan setiap penerima menerima sehingga RM400 mengikut kategori kelayakan BKM masing-masing.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu mengumumkan setiap penerima BKM bakal menerima sehingga RM500 mengikut kategori kelayakan BKM masing-masing.
Kata beliau, bayaran bantuan tunai tambahan yang dibayar bersekali dengan bayaran Fasa 2 BKM melibatkan tambahan peruntukan sebanyak RM630 juta.
Hal demikian katanya, kerajaan mengambil keputusan untuk menyediakan bantuan tunai tambahan kepada golongan B40 sebanyak RM100 untuk
golongan isi rumah dan RM50 untuk golongan bujang.
“Bayaran ini akan memanfaatkan hampir 8.6 juta penerima merangkumi 4 juta isi rumah, 1.2 juta warga emas (bujang/tiada pasangan) dan 3.4 juta individu bujang.
“Setiap penerima yang layak akan menerima bayaran secara berperingkat mulai 27 Jun 2022 (Isnin) melibatkan jumlah peruntukan sebanyak RM1.74 bilion,” ujar Perdana Menteri dalam sidang media khas pada Rabu.
Jelasnya, pembayaran ini juga bagi meringankan beban kewangan golongan B40 terutamanya dalam menyambut Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi.
“Semakan status pembayaran boleh dibuat bermula 27 Jun 2022 melalui pautan https://bkm.hasil.gov.my.
“Kerajaan sentiasa cakna dengan keperluan semasa terutamanya melibatkan kenaikan harga barangan keperluan dan akan terus komited dalam
memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia terutamanya kumpulan sasar,” ujar Ismail Sabri.
Mengulas lanjut, katanya 1 Jun yang lalu, beliau telah mengumumkan bahawa bantuan tunai akan diberikan kepada Keluarga Malaysia yang terkesan akibat cabaran kos sara hidup apabila kerajaan tidak lagi memberikan subsidi harga ayam, telur dan kenaikan harga barang makanan yang lain.
“Maka hari ini saya akan mengumumkan BKM merupakan inisiatif bantuan tunai langsung yang diumumkan dalam Belanjawan 2022 bagi memanfaatkan golongan B40.
“Setakat ini, seramai 8.6 juta penerima BKM telah diluluskan dengan isi rumah bakal menerima sehingga RM2,500 pada tahun 2022. Bantuan ini merupakan yang tertinggi setakat ini yang pernah diberikan oleh mana-mana kerajaan.
“Ia mengambil kira cabaran kos sara hidup dan kenaikan harga barang makanan kebelakangan ini,” katanya.