Kerajaan Perkenal MyGovCloud Pacu Transformasi Digital Sektor Awam

PUTRAJAYA – Kerajaan menaik taraf Perkhidmatan Pusat Data Sektor Awam (PDSA) kepada perkhidmatan Pengkomputeran Awan (CLOUD) khusus untuk kegunaan seluruh agensi Kerajaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkhidmatan yang dikenali sebagai government hybrid cloud atau MyGovClouda ini bertujuan memacu transformasi digital sektor awam secara holistik yang dapat merangsang pertumbuhan ekonomi digital dan agenda pendigitalan ke seluruh negara.

Menurutnya, kerajaan bersetuju melantik empat syarikat panel CSP bagi menyediakan perkhidmatan CLOUD yang terbaik, selamat dan terjamin.

“Inisiatif MyGovCloud seiring dengan Inisiatif Kelima (5) di bawah Teras 1 Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) yang menyasarkan 80 peratus penggunaan storan Pengkomputeran Awan merentas sektor awam pada tahun ini.

“Pemilihan CSP dibuat selepas syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan dalam dan luar negara mengemukakan cadangan (Request for Proposal atau RFP) sebelum penilaian dibuat secara telus melibatkan pelbagai pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata bagi memperkasa MyGovCloud, Perjanjian Kontrak Berpusat Pengkomputeran Awan dikenali sebagai Cloud Framework Agreement (CFA) telah dimeterai antara Kerajaan dengan CSP, berserta syarikat penyedia perkhidmatan CLOUD Bumiputera tempatan lantikan CSP dikenali sebagai Managed Service Provider (MSP).

“Kontrak CFA bersama-sama Kerajaan, CSP dan MSP melibatkan empat syarikat CSP iaitu Amazon Web Services Malaysia Sdn. Bhd., Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd., Microsoft (Malaysia) Sdn. Bhd. dan Telekom Malaysia Berhad. Empat syarikat MSP terdiri daripada Cloud Connect Sdn. Bhd., Enfrasys Solutions Sdn. Bhd., Radmik Solutions Sdn. Bhd. dan Awantec System Sdn. Bhd.

“Penglibatan CSP dan MSP ini dijangka membuka potensi pelaburan dalam negara bernilai RM12 bilion hingga RM15 bilion menjelang 2025,” katanya.

Jelasnya, pelaburan ini akan menjadi ‘tulang belakang’ kepada pembentukan sebuah ekosistem digital yang mampan untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang lestari dan menjadikan Malaysia sebagai hab digital utama di rantau ASEAN.

“Inisiatif MyGovCloud diyakini dapat melahirkan lebih ramai pakar pengkomputeran awan menerusi latihan berterusan dan program pensijilan yang disediakan oleh CSP dan MSP.

“Ini juga dapat meningkatkan kompetensi dan keupayaan penjawat awam seiring dengan keperluan dan teknologi semasa,” katanya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, melalui pelaksanaan CFA, agensi sektor awam akan dapat menikmati perkhidmatan CLOUD yang lebih baik, cepat, cekap dan bersasar pada harga yang kompetitif menerusi tawaran diskaun pukal oleh CSP dan MSP.

“Secara keseluruhan, perjanjian CFA ini merupakan satu inovasi dalam perolehan perkhidmatan CLOUD di semua agensi sektor awam, seiring dengan pengukuhan fungsi dan peranan MAMPU pada masa hadapan,” katanya.

author avatar
Jannah Jalidar