PUTRAJAYA – Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) menyatakan Prestasi Perbelanjaan Peruntukan Pembangunan (DE) Asas Tahun 2022 setakat 15 April 2022 adalah pada kadar 18.33 peratus.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Jawatankuasa Pemudahcara Pelaksanaan Projek Pembangunan Negara (JP4N) telah diwujudkan bagi menangani cabaran-cabaran utama dalam pengagihan DE.
Menurutnya, mesyuarat bersetuju supaya Ketua Setiausaha semua kementerian melaporkan status perbelanjaan DE kepada Menteri masing-masing pada setiap bulan bagi mempercepatkan pelaksanaan projek.
“Selaras dengan RMKe-12, Kerajaan telah menetapkan sasaran untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi pada tahun 2025.
“Mesyuarat pada hari ini telah meluluskan rangka kerja untuk memantau prestasi beberapa petunjuk untuk mencapai sasaran tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau yang turut mempengerusikan mesyuarat berkenaan menjelaskan, petunjuk itu merangkumi tiga komponen iaitu kemakmuran, inklusiviti dan kemampanan.
“Antaranya termasuklah pertumbuhan ekonomi dan peningkatan pendapatan isirumah, peningkatan daya saing dan produktiviti, peningkatan sumbangan industri berimpak tinggi kepada ekonomi, pembasmian kemiskinan tegar, pembangunan negeri yang seimbang dan kemampanan dan daya tahan alam sekitar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata mesyuarat turut membincangkan strategi membasmi miskin tegar menjelang tahun 2025.
Tambahnya bagi Fasa 1 Program Pembasmian Miskin Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) yang bermula pada bulan ini melibatkan 80 lokaliti dan kira-kira 5,000 ketua isi rumah (KIR).
“Secara keseluruhannya, sebanyak 1,000 lokaliti akan dipilih untuk pelaksanaan BMTKM sehingga penghujung tahun 2025.
“Pelaksanaan BMTKM menggunakan pendekatan baru yang lebih holistik, bersepadu dan berfokus dengan memberi tumpuan kepada aktiviti penjanaan pendapatan dalam kalangan KIR miskin tegar secara mampan. Mesyuarat juga dimaklumkan berkenaan Perancangan Projek Tebatan Banjir yang berjumlah RM15 bilion bagi tempoh 8 Tahun (2023 hingga 2030).
“Kaedah pembiayaan projek-projek ini sedang diperincikan oleh Kementerian Kewangan. Perancangan secara holistik ini merangkumi projek jangka masa pendek/sederhana dan panjang,” katanya.