Persaudaraan PAS, UMNO Terbukti Runtuhkan Keangkuhan PH, Jangan Cerai – Mokhtar Senik

KUALA LUMPUR – Pemimpin di atas boleh pergi dan berganti tetapi persaudaraan ahli akar umbi PAS dan UMNO tidak seharusnya dibiarkan runtuh kerana telah terbukti mampu menumbangkan keegooan dan keangkuhan Pakatan Harapan (PH).

Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat, Mokhtar Senik menyeru ahli-ahli PAS dan UMNO supaya tidak sesekali beri ruang lagi kepada PH membina kekuatan atas keruntuhan Muafakat Nasional (MN).

“Kebelakangan ini gelombang dalam MN sudah tidak tersorokkan lagi. Kocakannya sudah merecik dan membasahi wajah kedua-dua belak pihak. Oleh itu, ahli kedua-dua parti tidak boleh berdiam diri dengan sekadar memerhati dari bawah.

“Biarlah geloranya pada permukaan laut tetapi dibawanya hingga ke dasar tetap tenang. Agar terpelihara segala ikannya dan terumbu karang yang indah.

“Suka saya menyeru ahli PAS dan UMNO, ayuh kita berganding bahu menyelamatkan ikatan yang sudah terjalin ini,” kata Mokhtar.

Menurut ulamak PAS itu seruan ini bukan hanya kerana sudah penat bergaduh tetapi kerana kita seagama, sebangsa dan setanah air.

“Apa lagi ikatan yang paling kukuh selain tiga simpulan suci itu? Jika tidak dapat meredakan kocakan air di atas, namun kita yang di bawah ini kekalkan ketenangan kita.

“Bukankah kita telah merasai betapa nikmatnya ikatan persaudaraan yang disulam tanggal September 2019 itu, setelah terkoyak selama 60 tahun lebih. Hari itu air mata kesyukuran tumpah dan menitis tanpa dibuat-buat. Air mata ketulusan dan keikhlasan.

“Pemimpin di atas boleh pergi dan berganti tapi ukhuwah ini perlu dan wajib dijaga. Dedalu yang menghirup kepentingan diri dari kedua-dua parti boleh dicantas, tetapi pohon persaudaraan ini tidak boleh mati,” gesa beliau.

Mokhtar menambah, persaudaraan kedua parti besar ini sudah terbukti mampu menumbangkan keegoan dan keangkuhan PH.

“Maka jangan beri ruang lagi kepada mereka membina kekuatan atas keruntuhan kita.

“Saya yakin jika kita cintakan kedaulatan agama dan bangsa serta negara ini, kita akan sanggup mempertahankannya,” tegasnya.