CYBERJAYA – Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menyarankan agar satu pertemuan antara pemimpin politik Melayu dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu Islam harus diadakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata saranan tersebut dibuat kerana beliau melihat pertemuan itu penting bagi menentukan hala tuju masing masing.
Hujah Annuar, tiada kumpulan yang berpecah berjaya mencapai kemenangan secara bersendiri melainkan melalui gabungan serta pakatan.
“Saya ingin mencadangkan parti-parti politik Melayu, pemimpin-pemimpin NGO Melayu harus mengadakan pertemuan sebelum PRU15.
“Menerusi pertemuan itum, kita dapat menentukan hala tuju, sebab ini bukan nasib satu dua pemimpin, ini nasib umat rakyat dan sekali kita silap akan hancur seluruhnya dan ini benda yang serius,” katanya di Kota Bharu, hari ini.
Annuar merupakan individu yang sebelum ini turut berperanan dalam pembentukan Muafakat Nasional (MN) antara Pas dan UMNO.
Mengulas lanjut, beliau berkata pembentukan MN merupakan usaha yang dilakukan sekian lama bermula dari bawah hinggalah ke peringkat tertinggi yang dimeterai piagamnya melalui keputusan di Perhimpunan Agung UMNO dan Muktamar serta Majlis Syura PAS.
Ianya melalui satu proses dan perundingan yang sangat panjang sehingga kedua-dua pihak bersetuju menamatkan kemarau seteru sehingga sebahagian besar penyokong kedua-dua parti gembira dengan penyatuan itu.
“Oleh kerana MN diputuskan oleh Muktamar PAS dan Perhimpunan Agung UMNO maka biarlah Muktamar dan Perhimpunan Agung menentukan.
“Selagi Muktamar dan Perhimpunan Agung tak buat apa-apa, pada saya MN masih wujud masih kekal kerana MN dibentuk melalui dua perhimpunan maka biarlah perjalanan dan hayat MN ditentukan juga melalui Muktamar PAS dan juga Perhimpunan Agung UMNO,” katanya lagi.
Mutakhir ini pelbagai kenyataan dilontarkan oleh beberapa pemimpin PAS dan UMNO yang menjurus ke arah ketegangan antara kedua-dua parti terbesar orang Melayu itu.
Annuar berkata, dalam hal ini, beliau meminta mereka yang tidak terlibat dalam pembentukan MN berhenti bercakap, sebaliknya biarlah pucuk pimpinan masing-masing yang membuat kenyataan.
“Bergaduh itu mudah namun untuk berdamai ianya sukar. Saya harap MN kekal pada rohnya, bentuknya dan matlamatnya,” katanya.
Badan Perhubungan UMNO Kelantan bulan lalu membuat keputusan untuk tidak lagi bersama dengan PAS Kelantan dalam MN serta meletakkan hala tuju bergerak sendirian pada PRU15 nanti.