KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki direhatkan susulan penahanan reman tiga pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada 14 sehingga 19 September 2021, atas dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan di dalam urusan kes terhadap Datuk Hasanah Abdul Majid, Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO).
Melalui kenyataan media Majlis Presiden PH, isu ini telah mewujudkan satu persepsi yang amat buruk terhadap SPRM serta mengakibatkan rakyat Malaysia mempertikai integriti institusi itu sendiri, kami berpandangan bahawa satu kertas siasatan perlu dibuka, siasatan tersebut perlu bersifat menyeluruh dan mereka yang telah melanggar undang-undang mesti dibawa ke muka pengadilan.
“Majlis Presiden Pakatan Harapan mengikuti dan meneliti isu penahanan reman tiga pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada 14 sehingga 19 September 2021, atas dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan di dalam urusan kes terhadap Datuk Hasanah Abdul Majid, Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO).
“Pakatan Harapan menyambut baik kenyataan yang dibuat Menteri Dalam Negeri di dalam Dewan Rakyat semalam bahawa satu kertas inkuiri Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dibuka terhadap isu ini.
“Pada masa yang sama Datuk Seri Azam Baki, Ketua Pesuruhjaya SPRM patut direhatkan sementara waktu dari tugas-tugas beliau sehingga siasatan penuh dapat dilakukan.” kata kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, Pakatan Harapan turut berpandangan bahawa Kerajaan wajar mempertimbang menasihatkan KDYMM Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat isu-isu berhubung SPRM, serta mencadangkan langkah-langkah mereformasi institusi penting ini.
Terdahulu, melalui kenyataan media SPRM pada 20 September lepas, tiga pegawai kanan Surujanhaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditahan membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes terhadap seorang bekas ketua jabatan.
SPRM dalam satu kenyataan menegaskan bahawa suruhanjaya ini tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawainya yang terlibat dalam sebarang perbuatan jenayah serta akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya perbuatan itu benar berlaku.-SuaraTV