KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamad Hasan melahirkan kebimbangan memandangkan Asia Tenggara adalah satu-satunya zon bebas senjata nuklear yang tidak diiktiraf secara rasmi oleh negara senjata nuklear (NWS).
Menteri Luar itu berkata mereka mengalu-alukan kesediaan negara senjata nuklear untuk terlibat dengan ASEAN dengan tujuan untuk menandatangani dan meratifikasi Protokol Perjanjian mengenai Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).
Beliau berkata ASEAN juga harus bertindak balas secara konstruktif dengan segera.
“Kita mesti bekerja secara kolektif untuk mewujudkan syarat yang diperlukan untuk NWS mengambil langkah penting ini, termasuk dengan menyelesaikan isu tertunggak dengan NWS mengikut prinsip dan objektif perjanjian.
“Kita mempunyai tanggungjawab untuk memastikan bahawa perjanjian itu kekal bukan sahaja sebagai instrumen undang-undang, tetapi komitmen hidup, dinamik yang menyumbang secara bermakna kepada usaha pelucutan senjata serantau dan global,” katanya dalam ucapan perasmian semasa Mesyuarat Suruhanjaya SEANWFZ di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Selasa.
SEANWFZ diadakan bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) dan mesyuarat berkaitan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bermula Selasa hingga Jumaat.
Dalam pada itu, Mohamad mengingatkan agar semua negara anggota ASEAN perlu kekal bersatu dalam usaha merealisasikan Asia Tenggara yang bebas daripada senjata nuklear.
Ini kerana tegas beliau, ancaman dibawa oleh senjata nuklear terhadap penduduk dunia masih wujud.
Perjanjian SEANWFZ yang juga dikenali sebagai Perjanjian Bangkok ditandatangani pada Disember 1995 di Bangkok oleh 10 negara anggota ASEAN dan mula berkuat kuasa pada Mac 1997.
Di bawah protokol itu, setiap NWS perlu menghormati Perjanjian SEANWFZ dan mewajibkan anggotanya untuk tidak mengembangkan, mengeluarkan atau memperoleh, memiliki atau mengawal senjata nuklear dalam zon berkenaan.



