CYBERJAYA – Pertemuan tertutup Menteri dan Timbalan Menteri UMNO di pejabat Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam membuat keputusan akan mengekalkan kedudukan mereka di dalam kerajaan sehingga diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
SuaraTV difahamkan majoriti Menteri dan Timbalan Menteri UMNO hadir dalam perjumpaan semalam termasuk Datuk Noraini Ahmad (Menteri Pengajian Tinggi), Tan Sri Annuar Musa (Menteri Wilayah Persekutuan) memberi mandat kepada Ismail Sabri untuk bercakap dalam MKT UMNO mempertahankan diri dan menjelaskan realiti politik semasa.
Kumpulan yang ‘diejek’ sebagai kluster Menteri oleh segelintir pemimpin UMNO Bahagian dikatakan akan menentang kembali tohmahan dan tuduhan terhadap mereka sebagai penurut agenda Bersatu.
“we will fight back, lead by DSIS. Ahli dan rakyat berhak tahu hal sebenar”, komen pendek salah seorang daripada kumpulan ini kepada SuaraTV. Namun tidak jelas apakah bentuk melawan semula yang akan dilakukan.
Seorang pegawai Menteri pula memberi gambaran melawan semula itu mungkin termasuk memberi gambaran apa yang berlaku dalam parti sejak September 2020 dan bagaimana para menteri ini membantu parti semasa berada dalam kerajaan. – SuaraTV