Pencetus Darurat Adalah Pembangkang, Bukan Kerajaan

- Advertisement -

Oleh: Ahmad Soffian Bin Mohd Shariff

Sejak dari semalam penulis melihat ada sesetengah rakyat Malaysia yang menyokong PH mengutarakan pendapat mereka tentang isu darurat yang tular pada masa kini. Ramai yang berkata bahawa kononnya kerajaan sekarang bacul atau takut untuk mengadakan sidang parlimen kerana bimbang akan hilang kuasa.

Ramai yang tidak faham bahawa sekiranya Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal mendapat sokongan majoriti di parlimen sama ada dalam pembentangan bajet 2021 ataupun dengan usul undi tidak percaya, Dewan Rakyat akan terbubar sekaligus PRU-15 akan terpaksa dilaksanakan.

Sekiranya perkara ini berlaku, sudah tentu kita akan dapat melihat peningkatan yang lebih tinggi penularan wabak Covid-19, sepertimana yang telah berlaku di Sabah semasa Pilihanraya Negeri yang berlangsung tidak lama dahulu.

Semalam, YB Zuraida Kamaruddin, melalui laman facebook beliau telah mengeluarkan satu kenyataan menasihati YB Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tidak mencetuskan apa-apa lagi masalah politik kerana yang akan susah dan sengsara akibat tindakan Ketua Pembangkang itu adalah rakyat Malaysia.

Ya, kita tahu beliau sudah tidak sabar untuk menjadi Perdana Menteri, setelah ditemberang berkali-kali oleh Tun Mahathir Mohamad, namun ini bukan alasannya untuk menekan kerajaan sekarang yang jelas sedang bertungkus lumus untuk membantu rakyat Malaysia dalam menghadapi krisis kesihatan ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mendengar nasihat dan teguran yang telah diutarakan oleh YB Zuraida Kamaruddin agar “bakal PM” itu bermuhasabah dan memikirkan kesan daripada tindakan yang telah beliau lakukan. Jika perkara semudah ini tidak dapat difikirkan oleh beliau, wajar Datuk Seri Anwar melupakan sahaja hasrat untuk menjadi Perdana Menteri dan fokus sahaja kepada berkhidmat untuk para pengundi beliau di Port Dickson.

Kita lihat apa yang telah berlaku di Sabah bakal terjadi di seluruh negara sekiranya kita tidak berhati-hati dengan permainan golongan pembangkang. Di Sabah, pembangkang pada ketika itu yang diketuai oleh Tan Sri Musa Aman telah cuba untuk menggulingkan Kerajaan Sabah yang dipimpin oleh Datuk Seri Shafie Apdal. Akibatnya Sidang DUN terpaksa dibubarkan dan PRN dilaksankan, yang menyebabkan peningkatan kes Covid-19 yang menyusahkan semua pihak.

Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menekan-nekan kerajaan Malaysia pada ketika ini sama dangkalnya dengan apa yang telah dilakukan olah Tan Sri Musa Aman kepada kerajaan Negeri Sabah. Walaupun tidak berafiliasi dengan paksi politik yang sama, kedua-dua ahli politik ini terlalu teruja untuk melihat pertukaran kuasa sehingga sanggup menggadaikan nyawa rakyat.

Biarkan sahaja kerajaan sedia ada, tidak kira dari parti politik mana sekalipun memerintah dengan aman buat masa sekarang. Ini kerana sukar bagi kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri untuk membuat dasar dan polisi sekiranya permainan politik tidak dihentikan, apa yang penting sekarang adalah untuk memastikan keseluruhan rakyat dapat dibantu dan diselamatkan pada ketika kita diserang gelombang ke-dua virus Covid-19 pada masa kini.

Wajar pada ketika ini untuk semua ahli politik di Malaysia mendengar pendapat Presiden UMNO, yang telah menyeru kepada seluruh ahli UMNO untuk mengadakan gencatan politik bagi mengelakkan terjadinya pula krisis politik pada saat-saat genting ini.

Demokrasi penting untuk kita pelihara, tetapi pada masa kini, lebih penting nyawa rakyat Malaysia yang berada dalam keadaaan sangat berisiko. Sepertimana yang belaku di dalam Empayar Rome, apabila negara dilanda musibah, wabak atau peperangan, demokrasi perlu digantung sementara. Melihat keadaan semasa yang makin meruncing, tindakan untuk menggantung Dewan Rakyat buat sementera waktu ini perlu bagi manfaat kita semua.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat