IPOH: Menteri Besar Perak, YAB Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu telah membelakangi semangat kerjasama dan muafakat dengan UMNO dalam membuat pelantikan jawatan politik membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari UMNO.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Dato’ Saarani Mohamad, menyifatkan tindakan Ahmad Faizal melantik ADUN Pengkalan Hulu dari UMNO, Dato’ Aznel Ibrahim, sebagai Setiausaha Politiknya, tanpa berunding dengan UMNO Perak merupakan satu tindakan yang tidak wajar.
“Tindakan Menteri Besar melantik tanpa berbincang terlebih dahulu dengan UMNO negeri, telah membelakangi perjanjian yang dipersetujui bersama.”
Saarani juga kecewa dengan sikap Ahmad Faizal yang dilihat mengambil kesempatan atas pendirian UMNO Perak yang mengelak sebarang kenyataan politik bagi memberi ruang semua pihak menumpukan kepada masalah pandemik Covid-19 yang melanda negara hari ini.
“Perlu saya jelaskan bahawa ketika persetujuan untuk membentuk kerajaan, ketiga-ketiga pihak – PPBM, UMNO dan PAS – telah membuat persetujuan bertulis untuk saling hormat-menghormati dalam urusan pelantikan setiap wakil sama ada sebagai ahli majlis mesyuarat (Exco), ahli lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan dan lantikan politik yang lain”.
Justeru katanya lagi, pelantikan mana-mana ADUN, atau pemimpin UMNO dalam kerajaan hendaklah dibincangkan dengan badan perhubungan negeri atas semangat setiakawan dan prinsip hormat menghormati.
Saarani turut mengingatkan Menteri Besar bahawa, “kerajaan negeri Perak hari ini dibentuk atas semangat setiakawan serta persefahaman bagi memastikan Perak terpelihara daripada ancaman “politik yang tidak sihat”. Tanpa semangat setiakawan kestabilan politik negeri ini akan terancam. ”
Menurut Saarani ini bukan kali pertama persefahaman dan perjanjian ketika pembentukan Kerajaan Negeri Perikatan Nasional di Perak dilanggari dan diabaikan begitu sahaja.
Sebelum isu perlantikan Aznel ini pun, ada cubaan untuk mengubah senarai nama Exco yang sudah dipersetujui serta cubaan menukar pelantikan Speaker Dewan Undangan Negeri.
“Saya juga ingin menegaskan, UMNO dan BN Perak tidak tamak kuasa seperti yang didendangkan setiap kali kami bersuara. Hakikatnya, kami mempunyai 25 ADUN, jumlah paling besar di dalam Dewan Undangan Negeri. Namun atas ketaatan dan semangat tolak ansur, kami tidak menarik sokongan apabila jawatan Menteri Besar diberikan kepada PPBM,” tambah Saarani.
“Namun janganlah sikap keterbukaan, ketaatan serta tindakan berdiam diri kami selama ini dianggap sebagai kelemahan dan UMNO Perak boleh diperkotak-katikkan sehingga satu persatu persetujuan yang dimeterai bersama sebelum ini cuba dikhianati”.
Pendekatan berdiam diri selama ini kata Saarani, diambil bagi mengelakkan rakyat menjadi mangsa dalam waktu pandemik Covid 19 ini.
“Hentikanlah bermain politik dan bersandiwara serta tumpukan kepada kebajikan rakyat yang menderita sekarang”, kata beliau diakhir kenyataan tersebut.