10 Warga Asing Antara 21 Individu Ditahan Dalam Parti Liar Di Kondominium – Polis

- Advertisement -

Polis menahan 21 individu termasuk 10 warga asing yang menyertai parti liar di sebuah unit kondominium di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin @ Hilmi berkata, serbuan dilakukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields kira-kira jam 1.30 pagi.

“Hasil serbuan, kami menahan 11 lelaki dan 10 wanita membabitkan warga tempatan dan asing.

“Daripada jumlah itu, seorang individu tempatan yang ditahan adalah penganjur. Semua suspek berkenaan berusia antara 20 hingga 39 tahun,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Zairulnizam berkata, pihaknya turut merampas dadah jenis methamphetamine dianggarkan seberat 0.5 gram dalam serbuan itu.

“Siasatan awal mendapati kediaman itu disewa secara percuma kepada penganjur oleh seorang lelaki warga Jerman yang dikenali melalui aplikasi laman sesawang kelab gay iaitu Grindr.

“Bekalan dadah itu pula diperoleh daripada seorang lelaki tempatan dikenali sebagai Gordon. Individu yang menyertai parti itu dijemput melalui aplikasi WhatsApp dan tiada sebarang bayaran masuk dikenakan,” katanya.

Beliau berkata, hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan mendapati sembilan suspek yang ditahan positif dadah.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) akta sama. Semua suspek yang positif dadah direman selama tiga hari untuk siasatan lanjut.

“Semua suspek tempatan turut dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 atas kesalahan ingkar peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mengikut Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Berjangkit) 2020,” katanya.

Beliau menyeru orang ramai supaya tidak terbabit dengan sebarang aktiviti membabitkan dadah terutama parti liar dan tindakan tegas akan diambil terhadap penganjur serta individu menyertai parti berkenaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan itu boleh menyalurkan maklumat kepada pihak IPD Brickfields di talian 0322979222,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat