KUALA LUMPUR – Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM / Bersatu), Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak mempunyai kuasa untuk menandatangani kenyataan bersama Pakatan Harapan, Bersatu dan Parti Warisan Sabah bertarikh 4 Mei lalu.
Ketua Penerangan parti berkenaan, Dr Radzi Jidin berkata, tindakan tesebut adalah bercanggah dengan pendirian parti.
Katanya, kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang menyeru ahli-ahli Bersatu supaya bekerjasama dengan Pakatan Harapan adalah pendirian peribadi beliau.
Ia tidak melambangkan pendirian rasmi parti
“Sebarang usaha untuk membawa BERSATU bekerjasama dengan Pakatan Harapan adalah bercanggah dengan keputusan rasmi parti.
“Merujuk kepada kenyataan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu yang memberi gambaran seolah-olah Bersatu berminat untuk menyertai semula Pakatan Harapan.
“Saya ingin menjelaskan bahawa kami tidak pernah membincangkan perkara ini dan tidak berhasrat untuk menyertai semula Pakatan Harapan,” katanya.
Tegasnya, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu sebagai badan eksekutif tertinggi parti dalam mesyuaratnya pada 23 Februari 2020 telah memutuskan untuk parti itu keluar daripada Pakatan Harapan dan tidak lagi mempunyai apa-apa hubungan kerjasama dengan gabungan tersebut.