PAS jangan khianat rakyat, benarkan 3 Adun terus berkhidmat – Fathul Bari

KANGAR, — Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya, mengkritik keras keputusan PAS Pusat mengosongkan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis tanpa Pilihan Raya Kecil menyebabkan ia terbiar tanpa wakil rakyat sehingga tamat penggal.

Menurut beliau, tindakan membiarkan kerusi berkenaan kosong adalah keputusan yang merugikan rakyat dan bercanggah dengan semangat demokrasi serta amanah yang diberikan oleh pengundi.

“Hampir dua tahun rakyat di tiga DUN terlibat bakal hidup tanpa wakil rakyat. Ini bermakna tiada suara rasmi untuk membawa isu mereka, tiada saluran berkesan menyampaikan aduan dan tiada tempat bergantung harap untuk pembelaan,” katanya.

Fathul Bari menegaskan bahawa wakil rakyat terbabit dipilih oleh pengundi untuk berkhidmat kepada rakyat, bukan semata-mata kepada parti.

Justeru, jika pilihan raya kecil tidak dapat dilaksanakan, pendekatan paling adil ialah membenarkan mereka meneruskan tugas sebagai ADUN sehingga tamat penggal dan Pilihan Raya Umum diadakan.

Beliau turut menolak alasan penolakan lantikan Exco kerajaan negeri sebagai justifikasi untuk menafikan peranan wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri, sambil menegaskan bahawa tanggungjawab membawa suara rakyat masih boleh dan wajar dilaksanakan melalui saluran perundangan sedia ada.

Walaupun mengakui bukan ahli PAS dan tidak berminat mencampuri urusan dalaman parti itu, Fathul Bari berkata beliau terpanggil untuk bersuara atas dasar tanggungjawab moral dan keprihatinan terhadap nasib rakyat yang bakal terkesan.

Sehubungan itu, beliau menyeru PAS Pusat agar menilai semula keputusan berkenaan secara matang dan berhemah dengan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan, sambil menegaskan bahawa politik seharusnya menjadi medan khidmat dan penyelesaian, bukan punca rakyat terpinggir dan terbiar. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat