KUALA LUMPUR – Negara ini tidak akan rosak kerana kerana lukisan satira dan suara rakyat, negara ini rosak kerana korupsi.
Setiausaha Agung Muda Amir Hadi berkata, Muda mengutuk penahanan reman yang dibuat keatas aktivis, Fahmi Reza yang kini di tahan di Balai Polis Penampang, Sabah, berkaitan poster satira beliau yang mengkritik pelantikan Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah yang baru.
Katanya, amatlah mengecewakan Fahmi Reza disiasat dibawah Akta Hasutan serta Akta Komunikasi dan Multimedia yang selama ini telah dilawan oleh orang sama yang kini berada di bangku kuasa.
“Mereka lupa bagaimana undang-undang ini telah digunakan bagi menekan suara rakyat melawan kezaliman dan salah guna kuasa.
“Ironinya, selepas mereka berkuasa, walaupun selama bertahun-tahun mereka berkempen untuk memansuhkan akta hasutan jika menang dalam pilihanraya, mereka pula yang terus menggunakan akta ini bagi mendiamkan suara rakyat.
“Tidakkah mereka malu, di dalam mereka melanggar janji, menahan aktivis, mereka masih berteriak ‘reformasi’?
“Sebaliknya, yang perlu ditangkap bukan seorang aktivis yang melukis satira. Yang perlu ditangkap adalah mereka yang kini terpalit dengan skandal rasuah dan penyelewengan,” tegas Amir dalam kenyataan pada Selasa.
Justeru katanya, Muda menggesa agar moratorium dilaksana bagi menghentikan penggunaan Akta Hasutan dan #AktaSakitHati, dan seterusnya memansuhkan undang-undang lapuk ini.
“Muda yakin, semangat perjuangan rakyat Sabah melawan korupsi ini, akan turut disambut di Semenanjung dan seluruh negara, dan perlawanan akan diperhebat sehingga mereka yang terlibat dibawa kemuka pengadilan, selain tidak ada lagi perasuah-perasuah yang diberi kebebasan sebelum pun berdepan dengan perbicaraan.
“Bebas Fahmi! Mansuh Akta Hasutan! Lawan korupsi! seru Amir lagi.
Semalam media melaporkan, aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza ditahan polis susulan lebih 30 laporan termasuk berkaitan poster karikatur berbaur penghinaan terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-11, Tun Musa Aman.
Fahmi atau nama sebenarnya, Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin, ditahan kira-kira jam 5 petang Isnin selepas hadir untuk dirakam keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.
Pereka grafik itu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.