Hadi dakwa perjuangan Madani PH masih berkiblatkan White House, kucup BlackRock

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Ketidakhadiran Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim kini yang membawa slogan Madani menunjukkan perjuangannya bukan Madani Islam yang sebenar bersempena bandar Madinah yang dinamakan oleh Rasulullah SAW akan tetapi perjuangannya bergantung kepada Madani Jahiliah seperti Bank Dunia (World Bank), Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan BlackRock.

Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, keadaan ini menunjukkan bahawa perjuangan kemerdekaan kita belum selesai kerana masih berada di bawah wakil penjajah yang dinamakan Pakatan Harapan (PH) yang masih berkiblatkan White House dan mengucup BlackRock.

“Kenyataan-kenyataan anti-Islam yang berani oleh DAP dan rakan-rakan berwajah Melayu seperti PKR, Umno dan Amanah yang menjadi juru pembelanya yang bersuara bagi pihaknya, sangat nyata wala’ (kesetiaan) kepada musuh Islam,” tempelak Hadi dalam hantaran di Facebooknya pada Selasa.

Justeru Hadi menganggap ketiadaan Anwar di Sidang Kemuncak D-8 di Kaherah sebagai bukti konsep madani yang dibawa perdana menteri dan kerajaan tidak tulen.

Kata Ahli Parlimen Marang itu lagi, sebelum ini Dr Mahathir Mohamad – sewaktu dia menjadi perdana menteri – pernah cuba menyambung gagasan kumpulan D-8 dengan menganjurkan sidang kemuncak di Kuala Lumpur.

Malangnya kata Presiden PAS itu lagi hanya empat negara yang terlibat apabila Putrajaya menganjurkan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur pada 19 hingga 21 Dis 2019.

Menurut Hadi, D-8 merupakan sebuah kumpulan negara-negara membangun yang membentuk satu pakatan pembangunan ekonomi bagi meneruskan perjuangan kemerdekaan yang belum selesai.

“Apabila bergabung, negara-negara ini membentuk 13.5 peratus daripada populasi global pada tahun 1997. Pada waktu itu, gabungan ini dianggotai oleh negara Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan dan Turkiye.

“Kumpulan ini ditubuhkan selepas satu pengumuman di Istanbul, Turki, pada 15 Jun 1997. Keahliannya terbuka kepada negara-negara lain daripada kalangan negara-negara ahli pada masa kini walaupun tiada perancangan untuk menambah ahli.

“Objektif D-8 adalah untuk membangunkan kedudukan negara-negara membangun dalam sektor ekonomi, mempelbagaikan dan mencipta peluang-peluang baru dalam perhubungan perdagangan, meningkatkan penglibatan dalam proses membuat keputusan pada peringkat antarabangsa, dan memberikan kehidupan yang lebih baik.
Fokus kerjasama yang utama adalah dalam sektor kewangan, perbankan, pembangunan luar bandar, sains dan teknologi, pembangunan insan, pertanian, tenaga, alam sekitar dan kesihatan,” jelas beliau.

Memperincikan lebih lanjut, Hadi memberitahu perwakilan setiap lapan negara membangun kecuali Bangladesh telah memeteraikan satu Persetujuan Perdagangan Utama pada 14 Mei 2006 semasa Kemuncak D-8 ke-5 di Bali, Indonesia.

Ujarnya, persetujuan ini dirangka untuk mengurangkan tarif barangan tertentu antara negara ahli secara beransur-ansur, dengan diawasi oleh satu jawatankuasa penyeliaan. Tujuannya supaya halangan terhadap perdagangan bebas antara negara ahli dapat dikurangkan, dan kerjasama antara negara dapat ditingkatkan.

“D-8 mempunyai tiga badan iaitu Sidang Kemuncak, Majlis dan Suruhanjaya. Sidang Kemuncak, yang bersidang setiap dua tahun, merupakan kuasa tertinggi, dan terdiri daripada pemimpin setiap negara.

“Majlis pula merupakan badan utama yang bertanggungjawab membuat keputusan dan forum bagi mempertimbangkan isu yang berkaitan dengan D-8, dan terdiri daripada menteri luar negeri setiap negara.

“Suruhanjaya pula mempunyai kuasa eksekutif, dan terdiri daripada pesuruhjaya yang dilantik oleh setiap negara ahli. Pesuruhjaya bertanggungjawab menggalakkan pematuhan keputusan D-8 di negara masing-masing. Seterusnya, terdapat seorang pengarah eksekutif yang dilantik untuk memudahkan perhubungan dan bertindak sebagai penyelia di setiap sidang kemuncak atau perhimpunan lain.

“Penubuhan D-8 telah dicetuskan oleh Almarhum Prof. Najmuddin Erbakan, bekas Perdana Menteri Turkiye dan disokong oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad bekas Perdana Menteri Malaysia, dan berjaya mengumpulkan lapan buah negara yang menaja penubuhannya.

“Penubuhan ini wajar bagi negara Islam yang dikurniakan sumber ekonomi daripada berbagai-bagai komoditi bahan mentah atau hasil utama yang diniagakan dalam kuantiti yang banyak. Ia adalah bahagian penting dalam kehidupan seharian kita kerana ia digunakan untuk membina blok asas ekonomi global.

“Di samping itu, negara Islam juga mempunyai tenaga manusia yang banyak dari segi kepakaran dan tenaga kerja yang sepatutnya boleh diatur dengan baik. Kita juga mempunyai jalan perhubungan yang menghubungkan negara Islam dengan seluruh benua, serta adanya pasaran dunia Islam yang mencukupi di samping keperluan seluruh dunia kepada kita,” katanya.

Menurut Hadi lagi, selama ini, Dolar Amerika Syarikat (USD) telah menjadi mata wang antarabangsa terkemuka di dunia kerana pelbagai sebab yang terdiri daripada faktor ekonomi, politik dan sejarah. Dianggarkan kira-kira 60 peratus daripada semua rizab tukaran asing yang dipegang oleh bank pusat adalah dalam USD, manakala kira-kira 40 peratus daripada perdagangan global turut dinisbahkan kepada USD. Ini telah menjadikan USD sangat dominan dalam perdagangan global dan turut dipanggil sebagai hegemoni USD.

“Hegemoni USD dalam sistem kewangan global telah memberikan kuasa kepada negara Amerika Syarikat untuk menentukan serta mempengaruhi kesejahteraan global. Pada masa yang sama, dengan kuasa yang ada, negara Uncle Sam itu sering memperguna mata wang dan dasar monetari mereka sebagai senjata untuk menguasai ekonomi dunia.

“Walau bagaimanapun, sebahagian pengkritik berpendapat bahawa hegemoni ini telah memberi pelbagai kesan negatif selain mewujudkan banyak ketidakseimbangan dalam sistem kewangan global yang turut membawa kepada krisis kewangan dan ketidakstabilan ekonomi dunia. Sebagai contoh, krisis kewangan Asia pada tahun 1997 sememangnya berpunca daripada kenaikan mendadak kadar faedah USD oleh Bank Negara Amerika (Federal Reserve).

“Oleh yang demikian, beberapa negara seperti gabungan BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan) telah menyatakan hasrat untuk mencipta mata wang global baharu yang bertujuan mengurangkan pergantungan dunia kepada USD.

“Mata wang global baharu ini diharap mampu memberi pelbagai faedah kepada sistem kewangan global seperti memperkukuh integrasi ekonomi dalam negara BRICS itu sendiri, mengurangkan pengaruh Amerika Syarikat di pentas global dan melemahkan kedudukan USD sebagai mata wang rizab antarabangsa.

“Maka, terdapat dalam agenda D-8 bagi memperkenalkan Dinar Islam menjadi alternatif baharu demi kemerdekaan ekonomi dunia Islam. Namun begitu, ia pastinya mendapat tentangan keras negara-negara Barat dan sekutunya,” kata Hadi.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat