KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju dengan pelantikan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar sebagai Pengerusi Suruhanjaya Tenaga (ST) yang baharu berkuat kuasa esok, 1 Jan 2025.
Suruhanjaya Tenaga dalam kenyataan pada 31 Dis 2024 memaklumkan Shamsul Azri, 55, mempunyai pengalaman luas selama lebih 30 tahun dalam perkhidmatan awam, selain pernah berkhidmat di pelbagai agensi termasuk Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam, Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dan Pentadbiran Kerajaan Negeri.
“Suruhanjaya Tenaga mengalu-alukan kepimpinan Shamsul Azri untuk membawa agenda Suruhanjaya Tenaga ke tahap yang lebih tinggi.
“Selain itu Suruhanjaya Tenaga juga mengucapkan terima kasih kepada Datuk Mohamad Razif Abd Mubin atas sumbangan serta khidmat bakti beliau sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai Pengerusi Sementara Suruhanjaya Tenaga,” katanya dalam kenyataan.
Ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Tenaga 2001, Suruhanjaya Tenaga bertanggungjawab mengawal selia sektor tenaga, khususnya industri pembekalan elektrik dan gas berpaip di Semenanjung Malaysia.