WeChat, Tiktok, Telegram, Meta, mohon lesen operasi di Malaysia – MCMC

- Advertisement -

CYBERJAYA — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini memaklumkan empat penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial utama telah mengambil langkah signifikan pematuhan kawal selia dengan memohon lesen untuk beroperasi di Malaysia.

Komunikasi Korporat MCMC memaklumkan, Tencent (WeChat) telah diberikan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)), menjadikan mereka sebagai penyedia perkhidmatan pertama yang dilesenkan.

“Selepas WeChat, ByteDance (TikTok) telah berjaya memperoleh lesen mereka.

“Sementara itu, Telegram sedang berada di peringkat akhir proses pelesenan dan dijangka mendapat lesen dalam masa terdekat.

“Manakala Meta, yang menyelia Facebook, Instagram dan WhatsApp telah memulakan proses untuk memperoleh lesen bagi membolehkan platform mereka beroperasi di dalam negara, yang dijangka akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

Dalam kenyataan yang sama, MCMC memberitahu bahawa aplikasi X yang dahulu dikenali sebagai Twitter dan Google, yang mengendalikan YouTube, belum menghantar permohonan kepada MCMC.

“Menurut X, jumlah penggunanya di Malaysia tidak mencapai nilai ambang lapan juta pengguna yang disyaratkan.

“Ketika ini, MCMC sedang giat menyemak kesahihan jumlah pengguna dan akan meneruskan sesi libat urus bagi menilai kedudukan X.

“Berhubung Google, beberapa perkara dibangkitkan mengenai ciri-ciri perkongsian video YouTube dan klasifikasinya di bawah Kerangka Pelesenan,” jelas kenyataan tersebut.

MCMC juga telah membincangkan isu-isu yang dibangkitkan dan akan memastikan YouTube serta semua penyedia platform yang relevan dimaklumkan dengan jelas mengenai tugas dan tanggungjawab mereka untuk mematuhi Kerangka Pelesenan yang kini sudah berkuat kuasa.

“MCMC akan menilai status penyedia platform yang masih belum memperoleh lesen yang dikehendaki dan akan mempertimbangkan tindakan yang wajar di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Penyedia platform yang didapati melanggar keperluan pelesenan boleh tertakluk kepada siasatan dan tindakan pengawalseliaan.

“Keperluan pelesenan ini menekankan komitmen kerajaan untuk memperkukuh keselamatan dalam talian, mempertingkat perlindungan pengguna terutamanya untuk kanak-kanak dan golongan rentan, serta pada masa yang sama menambah baik pengawasan kawal selia untuk Penyedia Perkhidmatan yang beroperasi di Malaysia,” jelas kenyataan itu.

Selain itu, MCMC memuji usaha Penyedia Perkhidmatan yang telah mengambil langkah proaktif ke arah pematuhan dan menekankan kepentingan untuk mematuhi keperluan pelesenan. Kesemua usaha ini adalah penting dalam mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat untuk semua rakyat Malaysia.

author avatar
Jannah Jalidar
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat