China Bergelut Dengan Covid Subvarian Omicron BF.7

- Advertisement -

PETALING JAYA – China yang memutuskan untuk membuka pintu sempadannya bermula 8 Januari depan, kini terpaksa bergelut dengan kehadiran varian COVID-19 terbaharu iaitu subvarian Omicron yang dinamakan BF.7.

Berdasarkan laporan FMT, subvarian baharu itu dipercayai memacu lonjakan jangkitan di China, sekali gus mendorong banyak negara, termasuk Malaysia, untuk memeriksa suhu badan pelancong yang memasuki pintu sempadan masing-masing.

BF.7, singkatan untuk BA.5.2.1.7, berasal daripada varian Omicron BA.5 dan pertama kali dikesan di dunia pada Julai 2022.

Walaupun lonjakan kes di China dikaitkan dengan BF.7, ia tidak menyebabkan lonjakan di negara lain seperti Amerika Syarikat, Denmark, Jerman, Perancis dan India.

Menurut covSpectrum.org, laman web khusus untuk membantu saintis menyiasat dan mengenal pasti varian COVID-19, BF.7 turut dikesan di Malaysia pada Ogos dan September tahun ini, di Selangor, Pahang dan Melaka.

Gejalanya serupa dengan varian lain seperti hidung berair, batuk dan cirit-birit.

Laporan dari China menunjukkan, subvarian itu mempunyai kadar penularan yang sangat tinggi, dengan kadar kebolehjangkitan asas (R0) lebih daripada 10.

Purata R0 bagi varian Omicron lain adalah sekitar lima. Semakin tinggi angka R0, semakin tinggi kebolehjangkitannya.

Pakar virologi Universiti Sains Malaysia, Dr Kumitaa Theva Das, bagaimanapun berkata, R0 tinggi BF.7 di China mungkin disebabkan oleh tahap imuniti yang lebih rendah di negara itu.

“Berdasarkan bukti semasa, tiada tanda peningkatan keterukan (penyakit) yang dikaitkan dengan BF.7 jika dibandingkan dengan varian lain,” katanya.

Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak meletakkan subvarian Omicron itu di bawah pemantauan.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, mengumumkan, semua pelancong yang tiba di Malaysia perlu menjalani pemeriksaan suhu badan untuk mengesan demam.

Beliau juga dilaporkan berkata, semua orang yang mempunyai sejarah perjalanan ke China dalam tempoh 14 hari selepas ketibaan di negara ini, dikehendaki menjalani ujian pantas antigen (RTK-Ag) dan sampel akan dihantar untuk ujian genom jika didapati positif COVID-19.

Ini juga terpakai bagi mereka yang mempunyai kontak rapat dengan individu yang pergi ke China dalam tempoh 14 hari lalu atau menghidap penyakit seperti influenza (ILI) atau jangkitan pernafasan akut teruk (SARI).

Kementerian Kesihatan (KKM) juga akan menjalankan ujian PCR ke atas sampel kumbahan dari pesawat yang tiba dari China, yang akan dihantar untuk penjujukan genom jika didapati positif.

Pada masa sama, Kumitaa memuji KKM dengan menyifatkan langkah yang diambil dan peningkatan pengawasan itu tepat pada masanya serta membolehkan kes dari luar negara dikesan lebih awal.

Beliau berkata, memetik kajian 2022 dari Amerika Syarikat, walaupun BF.7 mempunyai ciri pengelak imun, vaksin dan penggalak sedia ada masih dapat meningkatkan imuniti terhadapnya.

“Memandangkan imuniti semakin berkurangan dari semasa ke semasa, mereka yang belum menerima (suntikan) penggalak kedua harus berbuat demikian sekarang, terutamanya yang tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas, komorbiditi dan yang rendah imuniti,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai juga harus terus memakai pelitup muka, menjaga jarak fizikal dan memastikan tahap kebersihan yang baik untuk mengelak dijangkiti, selain melakukan ujian secara berkala. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat