Selangor, Pahang Paling Banyak Berlaku Insiden Tanah Runtuh

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Tujuh lagi kejadian tanah runtuh dilaporkan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) hari ini menjadikan keseluruhan 133 insiden itu berlaku sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan pertambahan itu menjadikan keseluruhan insiden tanah runtuh yang berlaku di Selangor adalah 55 kes, Pahang (42), Negeri Sembilan (17), Kuala Lumpur (lapan), Sarawak (enam), Terengganu (tiga), Melaka dan Sabah masing-masing satu.

Agensi itu memaklumkan Bilik Gerakan Bencana Jabatan Kerja Raya, melaporkan kejadian bencana di 52 lokasi membabitkan cerun runtuh, jalan runtuh, jalan mendap, jambatan rosak atau runtuh.

“Sepanjang MTL 2021/2022, terdapat 46 lokasi tanah runtuh seluruh Malaysia yang sedang diambil tindakan baik pulih oleh pihak Jabatan Kerja Raya,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, Nadma memaklumkan setakat semalam (30 Dis), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melaporkan SW Corp Malaysia telah selesai melakukan kerja-kerja pembersihan di 80.6 peratus kawasan yang terjejas banjir di lima negeri.

Negeri terbabit adalah Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Selangor dengan anggaran lebih 7,280 tan sisa sampah dilupuskan membabitkan 2,286 pekerja dan 908 jentera bagi kerja pembersihan.

Sementara itu, susulan amaran hujan berterusan sehingga 3 Januari depan, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan memberi pemakluman awal yang dikemas kini dari semasa ke semasa agar semua Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) boleh bersiap siaga.

“Semua PKOB Negeri dan Daerah diminta sentiasa peka dengan amaran yang dikeluarkan oleh MetMalaysia dan JPS, serta sentiasa bersiap siaga dengan pelbagai kemungkinan termasuk banjir kilat, terutamanya di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak,” katanya. – HMetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,612FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat