KUALA LUMPUR – Datuk Bandar Kuala Lumpur menjelaskan penggunaan nama berbahasa Inggeris bagi program “I Lite U” hanyalah gimik pemasaran untuk menarik minat pelancong antarabangsa, bukannya menafikan kepentingan bahasa kebangsaan.
Datuk Maimunah Mohd Sharif berkata, nama itu membawa maksud “Innovative, Lighting, Infrastructure, Towards, Eco-Elegance and Urbanisation”, yang merangkumi aspirasi Kuala Lumpur ke arah bandar raya pintar, lestari dan indah pada waktu malam.
“Kita tidak mengetepikan bahasa Melayu, cuma dalam konteks promosi bandar raya dan tarikan pelancongan, pendekatan yang lebih kreatif digunakan.
“Nama ‘I Lite U’ dipilih untuk mencipta impak antarabangsa dan mudah diingati,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran program “Calendar Of Events 2026” pada Jumaat lapor MalaysiaGazette.
Penjelasan itu dibuat susulan kontroversi melibatkan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang dilaporkan menegur seorang wartawan berhubung pertanyaan mengenai penggunaan bahasa Inggeris dalam nama program tersebut.
Kenyataan dan tindakan menteri itu mengundang pelbagai reaksi, termasuk persoalan sama ada agensi kerajaan sepatutnya mengutamakan bahasa Melayu dalam setiap inisiatif rasmi.
Maimunah yang turut hadir di sisi menteri ketika insiden tersebut berlaku menegaskan, tumpuan utama program “I Lite U” ialah memperindah ibu negara melalui pencahayaan seni dan bukan isu bahasa.
Menurutnya, matlamat utama adalah menjadikan Kuala Lumpur lebih cerah, selamat dan menarik sekaligus menonjolkan keindahan bandar ini kepada pelawat dari dalam dan luar negara.



