Pawagam ditutup November ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Operasi pawagam seluruh negara akan ditutup, November ini. Keputusan berat dibuat sebulat suara oleh Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) berikutan perniagaan terjejas teruk hingga mengalami penyusutan pengunjung hingga 90 peratus sejak pandemik COVID-19 melanda negara sejak Disember lalu.

Naib Presiden MAFE, Cheah Chun Wai berkata, pengusaha pawagam terpaksa menanggung kerugian yang besar akibat penularan wabak COVID-19.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuat kuasa di tiga zon, Wilayah Persekutuan, Selangor dan Putrajaya yang memaksa operasi panggung wayang terpaksa ditutup, sekali gus bebanan pengusaha pawagam.

“Keputusan ini cukup berat buat kami, tetapi terpaksa dilakukan kerana tidak sanggup menanggung kerugian lebih teruk berikutan ketiadaan penonton. Selain itu, ketiadaan filem baharu di pasaran juga membantutkan keinginan penonton untuk ke pawagam.

“Lebih membebankan, pengusaha pawagam terpaksa melabur untuk membeli kelengkapan seperti alatan sanitasi, pelitup muka dan pemeriksaan suhu badan demi mengelakkan penularan pandemik COVID-19 di premis, semata-mata untuk keselamatan penonton. Kos ini dilihat membebankan dalam keadaan perniagaan yang lesu.

“Kami terpaksa membuat keputusan ini kerana lanskap industri pawagam sedang berdepan saat yang sangat getir. Langkah ini perlu untuk kesan jangka panjang demi memelihara industri panggung wayang. Bagaimanapun, kami akan terus memantau situasi terkini dan bertindak mengikut kesesuaian sebaik sahaja keadaan kembali pulih,” katanya kepada BH Online.

 

Naib Presiden Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE), Cheah Chun Wai.
Naib Presiden Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE), Cheah Chun Wai.

 

Cheah berkata, penutupan dan pembukaan semula pawagam bukanlah mudah, sebaliknya proses itu cukup membebankan. Ia memerlukan kos dan mengganggu bukan sahaja kepada pengusaha pawagam, malah tuan tanah dan pelanggan.

“Panggung wayang adalah sumber hiburan utama masyarakat di negara ini. Menjadi pusat budaya dan membawakan kisah manusia daripada dalam dan luar negara melalui filem.

“MAFE bukan hanya membabitkan pengusaha pawagam semata-mata, sebaliknya skopnya luas kerana membabitkan keseluruhan tenaga industri termasuk pelakon, kru, promoter dan mereka yang terbabit dalam penghasilan sesebuah filem. Kejayaan karya tempatan seperti filem Munafik, Hantuk Kak Limah, Ejen Ali: The Movie dan BoBoiBoy The Movie 2 tidak akan menjadi kenyataan tanpa platform yang disediakan oleh panggung wayang.

“Itu bermakna bukan kami sahaja terjejas, tetapi keseluruhan industri perfileman turut terkait sama. Kami sudah membuat rayuan kepada kerajaan untuk sokongan dan bantuan bagi membiayai kos sewa premis pada saat sedang bergelut untuk terus bertahan dan pulih daripada krisis ekonomi ini.

“Sekiranya perniagaan gagal, ia akan menjejaskan ke seluruh ekosistem industri hiburan. Kami memerlukan sokongan dan bergantung kepada kerajaan, pemilik tanah, penerbit filem dan penghujung untuk terus bertahan dalam keadaan sukar ini,” katanya.

Walaupun mengakui beberapa bulan akan datang adalah saat paling kritikal untuk industri pawagam, namun Cheah optimis industri itu akan melonjak dan kian kukuh sebaik sahaja keadaan pandemik COVID-19 dapat dihapuskan.

“Kami percaya pawagam akan terus kekal menjadi pilihan rakyat,” katanya.

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat