KOTA KINABALU – Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman menegaskan bahawa rakyat di negeri ini perlu terus mempertahankan semangat perpaduan dan menolak cubaan pihak tertentu yang cuba memecahbelahkan masyarakat melalui penyebaran fitnah.
Dalam perutusan beliau bersempena Hari Kebangsaan Hari Sabah 2025, Tun Musa menyuarakan rasa bimbang terhadap peningkatan kebencian yang kini kerap berlegar di media sosial, terutama apabila kandungan disalah tafsir dan dikongsi berulang kali tanpa rujukan sahih sehingga menimbulkan keresahan orang ramai.
“Semasa kita melangkah ke era teknologi maklumat yang canggih dan kecerdasan buatan (AI), kita mesti mengingatkan diri kita bahawa kita masih mempunyai tanggungjawab untuk memastikan apa sahaja maklumat yang kita kongsikan mestilah tepat dan benar,” katanya.
Beliau menambah bahawa kestabilan sosial serta keharmonian yang wujud di Sabah merupakan antara sumbangan paling bermakna negeri itu kepada Malaysia. Justeru, katanya, rakyat harus terus bekerjasama serta menghormati antara satu sama lain, tanpa mengira kaum, agama atau negeri asal.
“Kita mesti menerima hakikat bahawa setiap individu adalah unik dan kepelbagaian budaya negara kita merupakan sumber kekuatan.
“Sabah, dengan kepelbagaian etnik dan tradisinya yang kaya, telah lama menjadi contoh cemerlang dalam aspek perpaduan dalam kepelbagaian.
“Keharmonian kita adalah kekuatan kita dan kita tidak boleh membiarkannya terhakis oleh seruan yang memecah-belahkan masyarakat,” katanya.
Tun Musa dalam masa sama menyatakan harapannya agar jurang pembangunan antara Sabah dengan negeri lain dapat dikecilkan menerusi dasar strategik serta inisiatif ekonomi yang dirancang dengan berkesan. Beliau turut mengingatkan perkhidmatan awam agar melaksanakan projek dengan segera dan tidak membiarkan birokrasi menjejaskan kepentingan rakyat.
Selain itu, beliau menegaskan kepentingan kestabilan politik di Sabah sebagai syarat penting untuk menarik lebih banyak pelaburan asing serta bakat baharu, yang akhirnya mampu meningkatkan pertumbuhan ekonomi.
“Saya juga berharap Sabah akan terus kekal stabil dari segi politik, kerana faktor ini amat penting untuk menarik pelaburan langsung asing serta bakat baharu yang seterusnya akan merancakkan pertumbuhan ekonomi dan membawa lebih banyak kemajuan kepada rakyat.
“Pada Hari Kebangsaan Hari Sabah 2025 ini, marilah kita bersama-sama memperbaharui tekad untuk kekal bersatu padu dan bekerjasama demi kejayaan berterusan Sabah dan Malaysia.
“Saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan Hari Sabah 2025 kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.



