Rosmah Hilang Kepercayaan Terhadap Hakim, Keputusan Mahkamah Diketahui Esok

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Nasib sama ada Mahkamah Tinggi menerima pembelaan Datin Seri Rosmah Mansor akan diketahui esok.

Rosmah menghadapi tiga tuduhan rasuah membabitkan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Keputusan itu akan ditentukan selepas seminggu Mahkamah Persekutuan mengesahkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta terhadap suaminya, Datuk Seri Najib Razak dalam kes penyelewangan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd, lapor Berita Harian.

Sekiranya Hakim Mohamed Zaini Mazlan memutuskan menerima pembelaannya, Rosmah akan dibebaskan daripada tiga tuduhan meminta suapan RM187.5 juta dan menerima suapan masing-masing berjumlah RM1.5 juta serta RM5 juta berhubung projek berkenaan.

Bagaimanapun, jika hakim menolak, Rosmah bakal berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun bagi setiap tuduhan dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Rosmah juga boleh memohon untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan.

Sementara itu, dalam laporan berlainan, Berita Harian melaporkan, Rosmah telah hilang kepercayaan terhadap hakim Mahkamah Tinggi untuk membuat keputusan yang akan diketahui esok.

Perkara itu dinyatakan Rosmah dalam permohonan notis usul supaya Mohamed Zaini menarik diri daripada kes itu dan memohon supaya ia didengar atau dibicarakan semula oleh hakim lain.

Permohonan untuk menggugurkan Mohamed Zaini itu difailkan kelmarin secara dalam talian dengan alasan beliau hilang kepercayaan kepada hakim terbabit berikutan pendedahan sebuah portal berita bahawa bukan Mohamed Zaini yang menyiapkan keputusan penghakiman kes, sebaliknya oleh pihak lain bagi dirinya.

“Saya dengan hormatnya menyatakan bahawa pendedahan oleh penulis artikel itu membuatkan saya hilang kepercayaan kepada Yang Arif Hakim untuk menjadi hakim dalam kes solar ini, apatah lagi untuk beliau memberikan keputusan di akhir keseluruhan kes (yang dijadualkan esok).

“Bahkan, kewujudan penghakiman bertulis itu sama ada secara sukarela, langsung atau tidak langsung menyebabkan saya hilang kepercayaan kepada beliau sama sekali, sama ada beliau dapat menjalankan tugas mengadili kes dengan adil dan saksama, tanpa pengaruh mana-mana pihak ketiga:

“Sehubungan itu, Rosmah memohon supaya tarikh keputusan yang dijadualkan esok digantung dan perbicaraan kes terbabit didengar atau dibicarakan semula dan diputuskan hakim Mahkamah Tinggi Jenayah lain,” katanya melalui afidavit sokongannya.

Perkara itu disahkan peguam Datuk Akberdin Abdul Kader, salah seorang daripada peguam Rosmah.

Dalam permohonan notis usul itu, Rosmah memohon perintah mahkamah supaya Mohamed Zaini menarik diri daripada mendengar dan membuat keputusan atau apa-apa arahan dalam kes solar berkenaan, atau apa-apa prosiding serta permohonan mengenainya.

Begitu juga, sementara notis usul ini didengar dan diputuskan mahkamah dan sehingga siasatan terhadap aduan serta laporan polis berhubung pendedahan mengenai penghakiman itu selesai, Rosmah memohon perintah untuk menggantung tarikh keputusan kes itu esok.

Isteri Najib itu juga memohon perintah bahawa lanjutan daripada penarikan Mohamed Zaini, kes itu didengar dan dibicarakan semula oleh hakim lain, dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat