Keluarga Malaysia Teguh Bersama, Sambutan Hari Kebangsaan 2022 Luar Biasa – Annuar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Sambutan luar biasa rakyat pelbagai kaum yang menyertai dan menghadiri acara perbarisan dan perarakan sempena Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka, di sini hari ini berjaya menterjemahkan tema Keluarga Malaysia Teguh Bersama.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata jumlah pengunjung yang di luar jangkaan adalah disebabkan keterujaan rakyat selepas dua tahun tidak dapat bersama-sama menyambut acara bersejarah itu secara gilang-gemilang.

“Saya teruja tengok dari malam tadi mereka dah berada di sini dan pukul 5 pagi serta sesudah subuh tempat duduk sudah penuh. Ini sambutan luar biasa, saya juga terkejut 6.45 pagi tadi jalan penuh dengan kenderaan yang diparkir.

“Anggaran saya belum dapat maklumat, saya rasa mungkin 100,000 orang yang hadir… di semua tempat penuh sekali dan kita letak sistem bunyi di sepanjang tiga kilometer (km) perbarisan jadi saya harap mereka dapat mengikuti semua ulasan yang diberikan,” katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Kebangsaan 2022.

Annuar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 berkata pihaknya sangat berpuas hati apabila acara hari ini berjalan lancar dan menyifatkan sambutan kali ini berjaya.

Annuar juga kagum dengan kesungguhan para peserta yang terlibat kerana berjaya melaksanakan persembahan, acara perbarisan dan perarakan seperti yang dirancang.

“Masa juga tepat, mengikut apa yang kita aturkan, dapat menyamakan gerak acara di darat dan pesawat yang terbang dan semuanya tepat pada saat yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan penghargaan dan rasa kagum dengan persembahan yang ditunjukkan peserta.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga mengucapkan terima kasih dan tahniah atas kejayaan acara sambutan Hari Kebangsaan 2022 itu yang disempurnakan dengan baik.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, jawatankuasa induk, jawatankuasa teknikal dan subkomuniti serta semua peserta dan kontinjen yang telah berikan terbaik dan ia sangat membanggakan.

“Mudah-mudahan di masa akan datang kita boleh buat lebih baik dan kita ada satu lagi acara di bawah jawatankuasa ini iaitu sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept ini di Melaka,” katanya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat