Hampir 100,000 rai Hari Kebangsaan 2022

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kemeriahan luar biasa sambutan Hari Kebangsaan 2022 dapat dilihat apabila hampir 100, 000 rakyat Malaysia hadir, biarpun ada sebilangan darinya tidak dapat turut serta disebabkan lautan manusia memenuhi Dataran Merdeka semalam.

Tinjauan Suara TV mendapati rata-rata orang ramai yang ditemui menyatakan rasa teruja dan gembira biarpun tidak dapat menyaksikan perarakan dan persembahan Hari Kebangsaan 2022 dari jarak dekat.

Bagi Mohammad Nazrul Asraf , 35 tahun, walaupun tidak dapat menghampiri lokasi sambutan, namun semangat patriotik tetap dirasai apabila melihat kesungguhan rakyat Malaysia menyambut Hari Kebangsaan di luar kawasan Dataran.

“Saya dan isteri keluar rumah awal pagi menaiki keretapi, tak sangka ramai yang datang lebih awal lagi.

“Walaupun saya dan ramai yang tak dapat masuk ke dalam kawasan dataran, tetapi kami tetap bersemangat untuk sambut merdeka,” katanya.

Turut berkongsi keadaan yang sama, Shahrul Imran 42 tahun, tetap merasakan kemeriahan sekaligus teruja dan sebak apabila dapat melihat pertunjukan terbang lintas pesawat udara yang menggegarkan ruang udara Dataran Merdeka.

“Tak apa tak dapat masuk dataran asalkan kita semua datang sambut hari merdeka pun dah cukup. Saya dan keluarga dapat rasa semangat merdeka.

“Perasaan saya gembira campur sebak, negara kita telah merdeka. Anak anak saya juga gembira dapat tengok persembahan pesawat udara,” katanya.

Dalam pada itu, Suara TV turut mendapatkan reaksi orang ramai yang menyertai acara sambutan Hari Kebangsaan 2022 semalam.

Pertama kali menyertai persembahan perbarisan untuk Hari Kebangsaan, Shah Farihin Mohd Nazri, pelajar SMK Tinggi Klang berkata beliau dan rakan-rakannya sangat gembira dan bangga apabila terpilih untuk mengadakan persembahan.

“Seronok terpilih buat persembahan hari ini. Rasa semangat dan bangga. Saya dan semua pelajar di sini gembira dapat bersama meraikan Hari Merdeka.

“Sebagai anak Malaysia, saya berharap Malaysia akan aman damai dan tidak dijajah lagi,” katanya.

Dalam pada itu Kwan Aruvi, pelajar SMK Katholik Petaling Jaya yang juga salah seorang peserta dalam acara perbarisan Hari Kebangsaaan merasa bertuah menjadi sebahagian hari bersejarah itu.

“Saya menyertai Hari Kebangsaan ini dan rasa teruja sebab dapat menjadi salah seorang peserta. Saya ingin menggalakkan pelajar-pelajar lain supaya selepas ini turut menyertai acara seperti ini.

“Tengok ramai orang datang, keluarga pun ada, kita perlu cinta pada negara Malaysia,” katanya.

Berlainan pula dengan bapa kepada dua anak, Abdul Mutalib Jalil, 30 tahun, beliau hadir dengan mempersiapkan anak-anaknya berpakaian uniform seperti seorang askar.

Mutalib berkata, dengan cara ini dapat memberi semangat patriotik kepada diri anak-anak dalam menghayati perjuangan kemerdekaan yang telah dicapai oleh pejuang terdahulu.

“Saya nak anak-anak mempunyai semangat patriotik, tanamkan pada diri mereka betapa susahnya nenek moyang mereka berjuang untk dapatkan kemerdekaan.

“Sebab itu saya sanggup belikan baju lengkap seperti anggota keselamatan negara, supaya anak-anak dapat merasakan semangat cintakan tanah air,” katanya.

Melihat keletah anak-anaknya, Ahmad Azhan Abdul Mutalib yang baru berusia 9 tahun kelihatan sangat bersemangat dan bercita-cita ingin menjadi seorang askar suatu hari nanti.

“saya suka datang sini hari ini. Semangat sangat. Sebab saya nanti dah besar nak jadi askar.
“Saya nak jaga negara ini. Saya sayang Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata jumlah pengunjung yang di luar jangkaan adalah disebabkan keterujaan rakyat selepas dua tahun tidak dapat bersama-sama menyambut acara bersejarah itu secara gilang-gemilang.

“Saya teruja tengok dari malam tadi mereka dah berada di sini dan pukul 5 pagi serta sesudah subuh tempat duduk sudah penuh. Ini sambutan luar biasa, saya juga terkejut 6.45 pagi tadi jalan penuh dengan kenderaan yang diparkir.

“Anggaran saya belum dapat maklumat, saya rasa mungkin 100,000 orang yang hadir… di semua tempat penuh sekali dan kita letak sistem bunyi di sepanjang tiga kilometer (km) perbarisan jadi saya harap mereka dapat mengikuti semua ulasan yang diberikan,” katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Kebangsaan 2022.

Annuar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 berkata pihaknya sangat berpuas hati apabila acara hari ini berjalan lancar dan menyifatkan sambutan kali ini berjaya.

Annuar juga kagum dengan kesungguhan para peserta yang terlibat kerana berjaya melaksanakan persembahan, acara perbarisan dan perarakan seperti yang dirancang.

“Masa juga tepat, mengikut apa yang kita aturkan, dapat menyamakan gerak acara di darat dan pesawat yang terbang dan semuanya tepat pada saat yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan penghargaan dan rasa kagum dengan persembahan yang ditunjukkan peserta.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga mengucapkan terima kasih dan tahniah atas kejayaan acara sambutan Hari Kebangsaan 2022 itu yang disempurnakan dengan baik.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, jawatankuasa induk, jawatankuasa teknikal dan subkomuniti serta semua peserta dan kontinjen yang telah berikan terbaik dan ia sangat membanggakan.

“Mudah-mudahan di masa akan datang kita boleh buat lebih baik dan kita ada satu lagi acara di bawah jawatankuasa ini iaitu sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept ini di Melaka,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat