KUALA LUMPUR – Pembangunan sektor hiliran menjadi tumpuan utama kerajaan bagi memacu pertumbuhan ekonomi negara sekali gus meningkatkan sumber pendapatan rakyat.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, tumpuan itu merupakan antara teras utama dalam kerangka Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang berlandaskan prinsip ekonomi Madani dan akan dibentangkan hari ini.
Apa yang jelas katanya, asas kepada RMK13 ialah kerangka ekonomi Madani yang diambil sebagai prinsip untuk meningkatkan ekonomi negara dan sumber pendapatan rakyat
“Kita akan fokus kepada beberapa sektor dan industri yang memberi nilai tambah serta penciptaan nilai dan fokusnya kepada sektor hiliran. Itu secara umum sahaja, butiran yang lebih terperinci akan dibentangkan hari ini.
“Setiap kementerian akan mengetahui perincian penuh selepas dokumen tersebut dibentangkan dan segala maklumat berkaitan termasuk bajet serta kepentingan kesalinghubungan juga dijelaskan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Persidangan Ketersambungan Antarabangsa 2025 (ICC2025), lapor Utusan.
RMK13 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merangka dasar pembangunan Malaysia bagi tempoh lima tahun akan datang, dari 2026 hingga 2030.
Ia merupakan pelan terakhir dalam kerangka untuk melonjak Malaysia sebagai status negara maju berpendapatan tinggi yang inklusif dan mampan.
Pada 13 Jun lalu, Anwar dilaporkan berkata, RMK13 akan menjadi titik tolak kepada usaha kerajaan dalam menangani cabaran ekonomi negara.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata, cabaran itu termasuklah kesenjangan pembangunan dan pendapatan, ruang fiskal yang terhad dan peralihan struktur ekonomi yang perlahan.



