Mural Dr Mahathir dipadam, ini jawapan Datuk Bandar Alor Setar

- Advertisement -

Oleh Zihan Zari

ALOR SETAR – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) mengambil maklum berkenaan isu yang tular mengenai pemadaman mural wajah negarawan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang telah dilukis pada dinding salah sebuah bangunan di Medan Seni, dekat sini.

Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya menjelaskan pihak pemilik bangunan berkenaan telahpun mendapat kebenaran untuk menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian (renovasi) bangunan tersebut.

Abdul Gafar berkata kerja-kerja membaik pulih turut melibatkan dinding yang sebelum ini memaparkan mural Tun Dr. Mahathir, yang keadaannya telah lusuh dan mengalami pengelupasan cat yang ketara.

“Pihak pemilik telah mengambil langkah membaiki keseluruhan struktur dinding, termasuk mengecat semula permukaan tersebut bagi tujuan keselamatan dan estetik bangunan, ”katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata MBAS dan pihak Tourism Kedah memandang serius terhadap nilai seni dan penghargaan kepada tokoh negarawan seperti Tun Dr. Mahathir.

“Usaha sedang dilaksanakan untuk mewujudkan semula mural berkenaan, sama ada dengan lukisan baharu atau menggantikan mural asal pada lokasi yang bersesuaian.

“Selain itu, MBAS juga akan mengedarkan garis panduan serta syarat tambahan berkaitan karya mural pada bahagian persendirian.

“Antaranya, kehendak surat persetujuan bertulis dari pemilik bangunan; pelan atau lakaran mural yang perlu diluluskan oleh MBAS terlebih dahulu; dan aturan pemeliharaan serta penyelenggaraan mural untuk jangka panjang, ”katanya lagi.

Menurut beliau, langkah ini bertujuan bagi memastikan setiap karya seni awam yang diwujudkan di bandaraya ini dapat dipelihara dengan baik dan memberi nilai tambah kepada landskap bandar serta pembangunan pelancongan budaya dan warisan.

Dalam masa sama, beliau menegaskan isu ini tidak mempunyai sebarang kaitan dengan unsur – unsur yang tidak baik mahupun berkaitan dengan mana-mana agenda politik.

“Segala tindakan dan keputusan yang diambil adalah semata-mata berdasarkan pertimbangan profesional serta berpandukan garis panduan yang telah ditetapkan untuk memastikan karya-karya seperti ini dapat diraih sebaiknya,”tegasnya lagi.

Tambahnya, MBAS memohon agar semua pihak tidak membuat spekulasi yang boleh mengelirukan masyarakat dan menjejaskan keharmonian.

“MBAS komited untuk terus bertindak secara telus dan bertanggungjawab dalam semua urusan serta menghargai pandangan dan keprihatinan semua pihak.

“Kerjasama berterusan daripada komuniti seni dan pemilik bangunan dalam menjayakan inisiatif ini amat diharapkan, ”tambahnya lagi.-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat