Tiada manipulasi sistem daftar AstraZeneca oleh SELangkah – KJ, Amirudin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bersetuju tiada manipulasi sistem oleh platform dalam talian SELangkah kerajaan Selangor bagi pendaftaran untuk mendapatkan vaksin AstraZeneca seperti didakwa segelintir pihak.

Dalam kenyataan bersama, mereka berkata, kerajaan negeri melaksanakan pendaftaran vaksin AstraZeneca bagi pihak individu yang mendaftar di bawah kempen bantuan ImuniSel.

Kaedah itu adalah inisiatif kerajaan negeri untuk mendaftar vaksin secara ‘offline’ bagi golongan yang sukar mempunyai akses digital.

Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) sebelum ini mendakwa sebilangan individu diberikan janji temu vaksinasi AstraZeneca walaupun tidak pernah membuat tempahan kerana terdapat pihak lain membuat tempahan dalam jumlah yang banyak.

CITF mendakwa, tempahan itu juga dibuat tanpa persetujuan individu terbabit, termasuk tempahan dibuat menerusi platform dalam talian SElangkah

Bagaimanapun, pihak SELangkah menolak tuduhan ia terlibat dalam tempahan slot vaksin AstraZeneca sehingga mengakibatkan kekeliruan dan kemarahan orang ramai.

Khairy dan Amiruddin bermesyuarat untuk meleraikan isu berkenaan, selain mencari cara meningkatkan kadar harian vaksinasi di Selangor.

Menurut kenyataan bersama dua pemimpin itu, individu yang membuat pendaftaran vaksin menerusi ImuniSel telahpun memberikan kebenaran untuk didaftarkan bagi menerima vaksinasi di bawah PICK.

“Tempahan slot vaksin AstraZeneca adalah secara sukarela atau ‘opt in’ atas persetujuan dan pemahaman individu.

“Justeru pendaftarannya memerlukan persetujuan berbeza vaksin lain dalam program arus perdana PICK,” kata kenyataan itu.

“Oleh yang demikian, pihak ImuniSel mengambil maklum berhubung keperluan mendapatkan kebenaran berbeza ini sebelum pendaftaran bagi vaksin AstraZeneca dibuat,” tambah kenyataan itu.

Susulan itu, ImuniSEL bersetuju untuk menyerahkan senarai nama individu yang telah didaftarkan untuk dihubungi CITF bagi mendapatkan persetujuan menerima vaksin berkenaan.

CITF juga memaklumkan kerajaan Selangor bahawa beberapa individu telah mendapat janji temu vaksin AstraZeneca menerusi pendaftaran yang dibuat oleh pihak lain, termasuk ahli keluarga atau majikan mereka.

“Bagi menyelesaikan masalah ini, satu ciri tambahan di aplikasi MySejahtera akan dibangunkan dalam masa terdekat bagi membolehkan individu yang terkesan, terutama yang telah menerima janji temu baharu menggantikan yang terdahulu, dapat memberi maklum balas dan mendapat penyelesaian segera,” menurut kenyataan itu.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat