Pemuda PAS kecam konsert Justin Bieber, desak dibatal

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Pemuda PAS mendesak Kementerian Pelancongan supaya tidak meneruskan penganjuran konsert penyanyi terkenal, Justin Bieber yang dijadual bakal berlangsung pada 22 Oktober ini.

Naib Ketua Pemuda PAS, Hanafi Zulkapli menuntut kerajaan membatalkan konsert Justin Bieber yang dianggap berunsur hedonisme yang didakwa tiada manfaat untuk pembangunan jiwa rakyat.

“Pemuda PAS mengambil maklum perkembangan semasa yang sedang heboh diperkatakan iaitu penganjuran konsert Justin Bieber yang dijadualkan pada 22 Oktober tahun ini.

“Pemuda PAS ingin menyatakan dengan tegas bahawa penganjuran program sebegini yang hanya mementingkan hiburan kosong bukanlah perkara yang patut dilakukan tatkala negara mula melonggarkan SOP Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut Hanafi, penganjuran konsert sebegini hanyalah merancakkan lagi budaya hedonisme yang mementingkan amalan berhibur berlebihan.

Malah katanya, tidak mustahil dengan program sebegini turut hadir pakej masalah sosial lain seperti masalah dadah dan arak.

“Apakah jaminan pihak penganjur bahawa konsert ini dapat dikawal daripada merancakkan masalah-masalah sosial lain?

“Kita tidak mahu tragedi kematian 6 orang anak muda akibat mengambil dadah berlebihan di konsert Future Music Festival Asia pada 2014 berulang,” ujarnya.

“Oleh sebab itu, kata Hanafi Pemuda PAS menggesa pihak kerajaan dan berwajib agar membatalkan konsert tersebut demi menjaga sensitiviti umat Islam atau paling kurang menyediakan garis panduan yang amat ketat terhadap orang Islam yang menyertai konsert ini,” kata beliau lagi.

Hanafi turut menyebut jika alasan penganjuran konsert adalah bermanfaat untuk industri pelancongan Malaysia, beliau berpendapat terdapat lebih banyak alternatif lain yang boleh diberikan keutamaan bagi merancakkan industri pelancongan Malaysia.

“Maka, Pemuda PAS menyeru pihak Kementerian Pelancongan supaya mengambil tindakan wajar terhadap situasi ini mengambil kira negara Malaysia sebagai negara yang majoriti rakyatnya beragama Islam.

“Kami juga ingin mengingatkan kepada para pemimpin negara yang beragama Islam serta seluruh umat Islam untuk terus tegas dalam mempertahankan imej dan suasana Malaysia sesuai dengan status Islam sebagai agama rasmi Persekutuan,” tegasnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,596FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat