KUALA LUMPUR, – Penganalisis politik, Datuk Dr Marzuki Mohamad menyifatkan tekanan berterusan yang membawa kepada pengunduran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) adalah satu “projek singkirkan Muhyiddin” yang merosakkan gabungan itu.
Marzuki, yang juga bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Kelapan, berkata Muhyiddin sejak sekian lama diserang dari dalam dan luar parti, dengan tujuan utama memastikan beliau berundur daripada kepimpinan.
“Tan Sri Muhyiddin secara konsisten diserang dari dalam dan luar parti. Tujuannya satu – Muhyiddin Exit,” katanya dalam tulisan bertajuk NO HOLDS BARRED: MUHYIDDIN EXIT.
Beliau mendakwa serangan tersebut bukan sahaja datang daripada musuh politik, malah daripada kalangan pimpinan dalam Bersatu sendiri termasuk Timbalan Presiden parti itu.
“Di dalam parti, Timbalan Presiden yang tugasnya menurut perlembagaan parti adalah membantu Presiden, setiap hari menggunakan tangan-tangan kotor menyerang Presiden. Ini rahsia umum,” katanya.
Marzuki turut mendakwa tekanan terhadap Muhyiddin semakin jelas apabila pemimpin PAS sendiri mula mengeluarkan kenyataan terbuka yang dianggap menghina bekas Perdana Menteri itu.
Perkataan seperti “berambus” dan “your time is finished” menurutnya sudah disebut tanpa berselindung oleh pemimpin PAS, selain sindiran kasar “kawan makan kawan” terhadap Muhyiddin.
Walaupun krisis politik di Perlis berpunca daripada perbalahan dalaman PAS sendiri, Marzuki berkata Muhyiddin akhirnya menjadi pihak yang “terkena getah” dan dipersalahkan.
“Muhyiddin manusia biasa. Bukan malaikat. Bukan juga ulama’ yang boleh melindungi kelemahannya di sebalik jubah dan serban yang besar,” katanya.
Beliau juga mempersoalkan dakwaan bahawa masalah PN akan selesai apabila Muhyiddin berundur, sebaliknya menyifatkan PAS kini dilihat semakin teruja untuk mengambil alih kepimpinan gabungan itu.
Marzuki mendedahkan seorang Naib Presiden PAS didakwa sanggup mengejar Muhyiddin hingga ke London untuk mendapatkan sokongan supaya dinamakan sebagai Pengerusi PN.
Katanya, tindakan tersebut membuktikan perebutan kuasa dalam PN tidak berakhir dengan pengunduran Muhyiddin.
Selain itu, beliau turut menyentuh beberapa siri kunjungan pimpinan PAS termasuk Mursyidul Am dan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang ke kediaman Muhyiddin, yang menurutnya menunjukkan wujud ketegangan dalaman besar dalam gabungan.
Marzuki mendakwa cadangan mewujudkan Majlis Presiden dan Majlis Eksekutif seperti terkandung dalam surat Abdul Hadi kepada Muhyiddin pada Disember 2024 bukan bertujuan memperkasakan PN, sebaliknya untuk mengekang kuasa Muhyiddin sebagai Pengerusi.
“Apabila Muhyiddin berundur, kedua-dua majlis ini menjadi akademik, useless,” katanya.
Mengulas kedudukan Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Marzuki berkata pengunduran Muhyiddin mungkin membuka laluan kepada Hamzah untuk mengambil alih jawatan Presiden Bersatu.
Namun beliau meragui sama ada Hamzah akan diterima sebagai calon Perdana Menteri PN pada PRU16 memandangkan PAS dilihat mahu mengetuai gabungan itu.
Marzuki turut membuat andaian bahawa kesan akhir “Muhyiddin Exit” mungkin membawa kepada pengukuhan semula UMNO serta membolehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai Perdana Menteri selepas PRU16.
Beliau menutup tulisan itu dengan menasihatkan Muhyiddin supaya keluar sepenuhnya daripada kepimpinan jika terus dianggap sebagai liabiliti oleh gabungan sendiri.
“Tiada guna memimpin sekelompok manusia yang tidak tahu menilai kepimpinan anda,” katanya.



