KUALA LUMPUR – Pas tidak boleh terus menyalahkan faktor luar untuk menutup hakikat bahawa krisis Perlis adalah hasil daripada konflik dalaman yang gagal ditangani secara berhemah oleh kepimpinan tertinggi parti.
Naib Presiden Amanah Datuk Mahfuz Omar berkata, rakyat Perlis berhak kepada kebenaran dan kepimpinan yang bertanggungjawab, bukan alasan yang diubah-ubah.
Menurut bekas pimpinan Pas itu, cubaan mengalih isu tidak menyelesaikan kegagalan kepimpinan Pas di Perlis.
“Kenyataan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa wujud tekanan berkaitan projek dan jawatan sebagai punca krisis politik Perlis jelas merupakan cubaan mengalihkan perhatian daripada kegagalan sebenar, iaitu kegagalan Pas sendiri mengurus konflik dalaman parti sejak lebih setahun lalu.
“Hakikatnya, kemelut di Perlis tidak bermula dengan tekanan luar, tetapi berpunca daripada ketidakpuasan hati dalaman Pas Perlis sendiri terhadap kepimpinan Menteri Besar ketika itu (Mohd Shukri Ramli), yang telah dizahirkan secara terbuka sejak hujung 2023 dan memuncak dalam perbahasan Muktamar Pas Pusat 2024.
“Isyarat penolakan ini kemudiannya disahkan melalui keputusan pemilihan Pas 2025 apabila pasukan kepimpinan Cikgu Shukri di negeri tewas di semua pemilihan kepimpinan Pas kawasan kawasan.
“Kepimpinan Pas Pusat khususnya Ayoh Chik Tok Guru Presiden Pas adalah besan Cikgu Shukri pula memilih untuk mempertahankan individu, bukannya menyelesaikan masalah,” katanya.
Menurut Mahfuz, apabila konflik dibiarkan berlarutan tanpa penyelesaian politik yang matang, ia akhirnya membuka ruang kepada krisis sokongan, pemecatan Adun sendiri dan membawa kepada kejatuhan kerajaan negeri pimpinan Pas.
“Ini adalah kegagalan pengurusan parti, bukan kezaliman pihak lain.
“Jika benar wujud tekanan berkaitan projek atau jawatan seperti dakwaan Ayoh Chik Tok Guru Presiden Pas , tidak ada keperluan langsung untuk Menteri Besar meletakkan jawatan.
“Sepatutnya Tanggungjawab Ayoh Chik dan kepimpinan Pas pertahan MB Cikgu Shukri dan kerajaan pimpinan Pas dari serangan tekanan pihak luar dengan mengukuhkan kerjasama dalam parti, memperbaiki kepercayaan dalaman dan menutup ruang manipulasi politik, bukannya membiarkan krisis menjadi alasan untuk mengelak pertanggungjawaban sehingga hilang kerajaan.
“Lebih membimbangkan, kenyataan yang kabur dan tidak disertakan bukti hanya mengundang spekulasi serta mengelirukan rakyat, sedangkan dakwaan melibatkan tekanan dan salah laku sepatutnya diserahkan kepada saluran undang-undang, bukan dijadikan naratif politik untuk menutup kegagalan sendiri,” bidas Mahfuz.



