KUALA LUMPUR -Ketua Penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menasihatkan pimpinan Pas sekiranya diberi amanah sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) supaya menguruskan gabungan itu dengan lebih baik bahkan menjadi pembangkang lebih unggul.
Bukan cuma itu, Tun Faisal juga mengingatkan supaya Pengerusi PN yang baharu agar mempersiapkan PN menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dan siri Pilihan Raya Negeri (PRN) mendatang dapat mengangkat PN menjadi kerajaan sesegera mungkin dengan bantuan Umno.
“Jagalah jawatan ini baik-baik dan janganlah pula di’sub-kan’ semula jawatan Pengerusi PN ini kepada pemimpin parti lain,” pesan beliau.
Dalam kenyataan sama, Tun Faisal membidas Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden yang didakwa tulisan Ahli Parlimen Alor Setar itu sebelum ini bukan sekadar meminta-minta jawatan malah dilihat seolah-olah memaksa-maksa untuk diberikan jawatan.
“Baiklah, sekarang jawatan Pengerusi Perikatan Nasional yang diidam-idamkan berpotensi menjadi milik Pas dan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang. Jika ia menjadi kenyataan nanti terimalah amanah ini sebaik-baiknya. Besarlah harapan kami, dengan jawatan Pengerusi PN ini, Pas dan Presiden Pas dapat menguruskan PN dengan lebih baik.
“Izinkan saya menyatakan bahawa pada pandangan saya, tulisan YB (Afnan) dalam posting tersebut agak kasar dari segi bahasa dan nada. Ia mungkin boleh ditafsirkan sebagai kurang berhikmah dan menimbulkan rasa kurang senang dan tidak selesa kepada banyak pihak, termasuk pimpinan parti YB sendiri.
“Tulisan YB sama sekali tidak mencerminkan akhlak dan budi bahasa seorang Ahli Yang Berhormat dan Ketua Pemuda sebuah parti Islam, apatah lagi daripada latar belakang keluarga alim ulama. Ramai yang tentunya mengharapkan pendekatan yang lebih beradab daripada YB. Mungkin elok juga kita sama-sama bertanya, jika ungkapan yang sama ditujukan kepada Presiden Pas, apakah perasaan YB? Gembira? Marah?
“Teguran ini disampaikan dengan niat yang baik, kerana kepimpinan Pemuda PAS di peringkat atasan lazimnya akan menjadi contoh kepada ahli-ahli Pemuda Pas di bawah.
“Kedua, membaca tulisan YB, pada pandangan peribadi saya, jelas tulisan YB menunjukkan sikap meminta-minta jawatan oleh YB dan parti YB.
“Sukalah saya menyampaikan pesanan yang selalu diingatkan oleh pemimpin-pemimpin dari parti YB, bahawa Rasulullah saw melarang umatnya meminta-minta jawatan.
“Semoga teguran dan peringatan ini dapat diterima dengan hati yang lapang dan terbuka, demi kebaikan bersama dan demi memperkukuhkan akhlak serta kepimpinan dalam perjuangan Islam dan ummah, agama, bangsa, rakyat dan tanah air,” katanya.



