KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak tidak pernah sesekali memohon tahanan rumah sebaliknya membuat permohonan pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong, jelas Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa.
Menurut bekas Setiausaha Agung Umno itu kenyataan media rasmi pejabat Peguam Negara bahawa “Najib perlu kemuka permohonan baru kepada Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (LPWP)” bukan saja tidak meredakan kemarahan rakyat tetapi menimbulkan lebih banyak persoalan dan tanda tanya.
“Faktanya bukan Najib yang meminta tahanan dirumah ini.Tiada lama atau baru.
“Najib memohon “pengampunan” Yang di-Pertuan Agong. Agong selepas bersidangnya Lembaga Pengampunan memperkenankan beberapa perkara termasuk menitahkan menerusi satu “titah adendum” untuk tahanan rumah di berikan kepada Najib,” kata Annuar yang juga Timbalan Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat.
Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Ketereh itu berkata lagi, isunya kewujudan titah adendum itu terus di sembunyikan dan pelaksanaannya juga dinafikan.
Justeru kata Annuar, Peguam Najib terpaksa memohon kepada mahkamah sapaya Kerajaan mengesahkan wujudnya titah tersebut dan memohon perintah agar titah itu dilaksanakan.
“Sikap kerajaan berahsia dan berdolak-dalik dalam memberi jawapan menyebabkan rakyat menganggap kerajaan menderhakai titah dan sengaja tidak mahu memberikan apa yang hak kepada Najib
“Berdasarkan maklumat yang terkini viral,rakyat kini tahu dan yakin titah itu wujud tetapi kerajaan enggan melaksanakannya.
“Kini setelah melihat kebangkitan rakyat bersolidariti bersama Najib,barulah kerajaan mengeluarkan kenyataan utk mengalih perhatian kepada “permohonan baru”yang kononnya perlu di buat oleh Najib.
“Sesetengah peguam kanan berpendapat tindakan Pejabat Peguam Negara itu cenderung kepada “subjudice” kerana secara langsung menyentuh isu yang sedang dalam pertimbangan mahkamah.
“Kini jelas tiada ketelusan di pihak kerajaan dan seolah olah ada sesuatu yang cuba disembunyikan.
“Yang pasti keadilan buat Najib telah dinafikan,” dakwa Annuar.
Kata beliau lagi, dalam isu ini,rakyat dan “friends of Najib”semakin tekad bersolidariti bersama Bossku Najib.
“Mereka dipercayai akan turun beramai ramai pada 6 Januari ini di Putrajaya tanda sokongan dan menuntut keadilan untuk Najib,” ujarnya.
Sabtu lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan bekas Perdana Menteri Najib perlu mengemukakan permohonan baharu kepada Lembaga Pengampunan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong sekiranya ingin menghabiskan baki tempoh hukumannya kepada tahanan di rumah.
AGC dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong berkuasa untuk memberi pengampunan, menunda dan melegakan hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan serta Putrajaya.