Akmal tak perlu tarik balik kenyataan, Pemuda MCA ajak pemuda PH, Umno sertai solidariti Najib

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Tidak ada keperluan untuk Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh menarik balik sebarang kenyataan beliau kerana tidak ada apa-apa kesalahan atau bercanggah dengan undang-undang di negara ini.

Pengarah Komunikasi Pemuda BN Neow Choo Seong sebaliknya menegaskan, apa yang dinyatakan oleh Akmal adalah bersifat pertanyaan yang berniat untuk mendapatkan penjelasan sejurus kenyataan Peguam Negara pada 28 Disember 2024 berhubung isu pengampunan Diraja.

“Tidak ada keperluan untuk Dr Akmal Saleh menarik balik sebarang kenyataan beliau kerana tidak ada apa-apa kesalahan atau bercanggah dengan undang-undang di negara ini.

“Sebaliknya, saya mengajak Adam Adli dan rakan-rakan dari Angkatan Muda Keadilan (AMK) untuk turut hadir di Istana Kehakiman, Putrajaya menyertai himpunan Solidariti bersama Datuk Seri Najib Razak menuntut keadilan.

“YB Adam Adli dahulunya cukup dikenali dan disanjungi anak-anak muda kerana memperjuangkan reformasi keadilan dan menentang kezaliman. Beliau juga mempunyai pengalaman luas mengetuai beberapa siri demontrasi jalanan suatu ketika dahulu. Maka, Pemuda BN ingin menjemput dan berharap YB Adam Adli dapat hadir bersama kami untuk menuntut keadilan dalam sistem perundangan negara,” ujar Choo Seong dalam kenyataan pada Isnin.

Kata beliau, ini juga selaras dengan kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri pada 21 Disember lalu yang menyifatkan terdapat kelemahan dalam beberapa kes pendakwaan yang dibuat selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kerana ia dilakukan secara tergesa-gesa, serta didorong oleh kebencian, permusuhan dan dendam politik.

“Jangan lupa bagaimana kediaman Datuk Seri Najib digeledah pada malam pertama Ramadan 2018. Atas keikhlasan dan semangat Kerajaan Perpaduan, maka adalah wajar agar AMK dan sayap pemuda PH dapat bersama-sama dengan Pemuda BN dalam perhimpunan aman kali ini.

“Sebagai barisan pemimpin pelapis, kita semua mempunyai tanggungjawab untuk menegakkan keadilan sistem perundangan negara dan menghentikan amalan dendam politik yang bukan sahaja merugikan rakyat tetapi juga membazir sumber negara serta mencemarkan kemuliaan institusi kehakiman di negara kita,” katanya yang juga Ketua Penerangan Pemuda MCA.

Semalam media melaporkan, Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh digesa untuk menarik balik kenyataannya yang mempertikaikan pengampunan diraja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd Halim menegaskan, pengurniaan pengampunan bukan keputusan yang dilakukan sewenang-wenangnya mengikut desakan politik.

“Sebaliknya ia dilindungi mekanisme yang ditetapkan undang-undang dan Perlembagaan.

“Jangan kita pertikaikan bidang kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong sehingga mencalarkan pandangan terhadap keluhuran institusi.

“Jika tidak berhati-hati, kenyataan tersebut bukan lagi sekadar serangan politik, tetapi juga boleh dianggap sebagai tindakan yang tidak menghormati institusi Raja dan undang-undang tertinggi negara.

“(Kerajaan) Madani tidak mengamalkan politik dendam atas pertembungan lampau. Ini kerajaan gabungan yang dianggotai pelbagai parti yang ada kepentingan masing-masing. Sehabis baik ianya akan sentiasa dijaga.

“Apakah Akmal mahu terus menutup sebelah mata terhadap pendekatan hari ini di bawah Kerajaan Madani?” soalnya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata demikian kepada kenyataan Akmal menerusi hantaran di Facebook sebelum ini yang mempersoalkan pengampunan Diraja yang diperolehi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sejauh mana proses itu dibawa kepada Lembaga Pengampunan.

Mengulas lanjut, Adam Adli berkata, fakta asas mengenai pengampunan Anwar pada 2018 adalah atas dasar pelanggaran prinsip keadilan dan telah melalui proses wajar termasuk pertimbangan Lembaga Pengampunan selaras Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, isu yang dipertikaikan oleh Akmal bukan sahaja meluru, malah memesongkan fakta yang diketahui umum.

Adam Adli turut mengingatkan Akmal bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa dan disabitkan kesalahan pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad dan dijatuhkan hukuman penjara pada 2022 semasa zaman Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob.

“Semuanya melalui proses undang-undang yang tidak dipertikaikan, namun yang terus diserang adalah pentadbiran Anwar.

“Hari ini, Najib dan Datin Seri Rosmah Mansor masih diberi peluang sewajarnya melalui proses undang-undang yang adil, tanpa sebarang campur tangan politik,’ ujarnya.
Tambah Adam, semua pihak termasuk Akmal harus menjadi contoh kepada kepentingan memegang kepada prinsip perlembagaan.

“Bukan semuanya mengenai politik individu atau keperluan pihak tertentu. Negara akan hancur tanpa dukungan terhadap Perlembagaan,” ujarnya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat