Korea Selatan berkabung 7 hari, upacara peringatan seluruh negara kenang 179 mangsa nahas Jeju Air

- Advertisement -

MUAN – Pasukan penyiasat Amerika Syarikat (AS) akan menyertai pihak berkuasa Korea Selatan bagi menyiasat punca pesawat Jeju Air yang terhempas dan terbakar sehingga mengorbankan 179 orang.

Boeing 737-800 itu dilaporkan membawa 181 orang dari Thailand ke Korea Selatan apabila ia terhempas dan mengorbankan semua penumpang kecuali dua anak kapal yang ditarik keluar dari serpihan pesawat.

Pegawai bomba memberitahu, pertembungan dengan burung adalah antara kemungkinan punca nahas yang menyebabkan penumpang terhumban dan pesawat hampir musnah sepenuhnya.

Terdahulu, rakaman video menunjukkan Penerbangan 2216 Jeju Air mendarat dengan gear pendaratan tersekat di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, disusuli kepulan asap keluar dari enjin sebelum merempuh dinding dan meletup.

Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) AS berkata, pihaknya akan mengetuai pasukan penyiasat, termasuk dari Boeing dan Pihak Berkuasa Penerbangan Persekutuan (FAA), untuk menyertai pegawai di Korea Selatan dalam menyiasat punca nahas.

Negara berkenaan mempunyai rekod keselamatan udara yang baik. Kedua-dua kotak hitam iaitu perakam data penerbangan dan perakam suara kokpit pesawat itu sudah ditemui.

Salah seorang anak kapal yang terselamat dilaporkan sudah terjaga dan dapat berkomunikasi.

“Apabila tersedar, saya sudah diselamatkan,” kata lelaki berusia 33 tahun itu kepada doktor.

Dia mengalami patah tulang, manakala anak kapal yang lain, seorang wanita berusia 25 tahun mengalami kecederaan buku lali dan kepala.

Pihak berkuasa berkata, kesemua penumpang adalah warga Korea Selatan selain dua warga Thailand, berusia tiga tahun dan 78 tahun serta sedang berusaha untuk melengkapkan pengecaman semua mangsa.

Beberapa minit sebelum nahas, menara kawalan mengeluarkan amaran serangan burung dan tidak lama selepas amaran dikeluarkan, juruterbang membuat panggilan kecemasan.

Video menunjukkan pesawat itu terbabas dari landasan dan melanggar dinding, bagaimanapun pegawai menolak spekulasi bahawa panjang landasan mungkin menjadi faktor dalam nahas.

Korea Selatan mengisytiharkan tempoh berkabung selama tujuh hari, dengan upacara peringatan diadakan di seluruh negara.

Tragedi itu adalah kemalangan maut pertama dalam sejarah Jeju Air, salah satu syarikat penerbangan tambang murah terbesar Korea Selatan, yang ditubuhkan pada 2005.

Sebilangan kemalangan pesawat yang berlaku di seluruh dunia sehingga mengorbankan nyawa adalah akibat serangan burung, yang boleh menyebabkan kehilangan pesawat kuasa jika haiwan itu disedut ke dalam salur udara enjin. – AFP

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat