Kontroversi tak sekat rezeki MK

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rezeki penyanyi rap yang kini bergelar pelakon, MK K-Clique, 25, belum tersekat meskipun terpalit kontroversi enggan memberi kerjasama mempromosikan filem Marabahaya Underground, baru-baru ini.

Ia sekali gus memberi ruang kepada MK untuk terus mengembangkan sayap seninya dalam dunia lakonan.

MK berkata, dia bersyukur rezeki dalam bidang lakonan masih lagi luas.

“Bagi saya, kontroversi lalu tidak mencalarkan atau merosakkan imej. Saya percaya rezeki sudah ditetapkan.

“Setiap orang yang bertanya kepada saya sudah tahu situasi sebenar bagi isu enggan memberi kerjasama mempromosikan filem Marabahaya Underground.

“Oleh itu, ia tidak memberikan reputasi buruk pada saya,” katanya kepada BH Online.

Terdahulu, penerbit filem Marabahaya Underground, Suhaimi Selamat meluahkan rasa terkilan terhadap sikap MK yang tidak memberikan kerjasama mempromosikan filem itu.

Bagaimanapun, sejurus itu, MK sudah memohon maaf menerusi kumpulan aplikasi Whatsapp.

MK atau nama sebenarnya, Muhammad Hairi Amin Hamdan ditemui pada sidang media drama terbaharu, Oh My Hantaran, secara virtual, semalam.

Selain MK, drama sebanyak 20 episod arahan Shuhaimi Luar terbitan Tanah Beris Film Production itu turut menampilkan Noki K-Clique, Elisya Sandha Anna Jobling, Kak Girl dan ramai lagi.

Disiarkan setiap Isnin hingga Jumaat, jam 8.30 malam menerusi slot Diandra di TV9, bermula hari ini.

 

MK bergandingan bersama Noki dan Elisya dalam drama Oh My Hantaran yang mula disiarkan di TV9, malam ini. - Foto Ihsan TV3
MK bergandingan bersama Noki dan Elisya dalam drama Oh My Hantaran yang mula disiarkan di TV9, malam ini. – Foto Ihsan TV3

 

Satu demi satu naskhah mengetengahkannya sebagai pelakon, MK tidak menafikan menerima banyak peluang dalam bidang lakonan.

Mengulas serius terhadap dunia lakonan, MK berkata, ia lebih kepada menghargai peluang diberikan kepadanya.

“Alhamdulillah, saya akan bersungguh-sungguh mengambil peluang diberikan dalam dunia lakonan. Minat dan kesungguhan ini daripada jiwa saya sendiri.

“Jadi, untuk cakap serius atau tidak, saya lebih kepada menghargai peluang depan mata. Saya serius berlakon kerana itulah rezeki diberikan kepada saya.

“Dengan rezeki ini, saya kena bersungguh-sungguh membuktikan bakat,” katanya.

Buktinya, MK bukan sahaja merancang menghadiri lebih banyak kelas lakonan, tahun hadapan, malah, sedang mempelajari menguasai bahasa Malaysia dengan betul.

“Sekarang, saya sedang belajar menguasai dialek bahasa Malaysia dengan lebih baik. Alhamdulillah, kelonggaran dan keselesaan diberikan produksi drama Oh My Hantaran membuatkan saya bebas menggunakan dialek Sabah.

“Tetapi, tidaklah terlalu pekat agar difahami penonton. Dalam masa sama, saya belajar bercakap bahasa Malaysia yang difahami.

“Jujurnya, untuk menguasai bahasa Malaysia memerlukan masa. Dan, saya tahu tidak boleh kekalkan dialek Sabah agar dapat memainkan lebih banyak watak pada masa akan datang, insya-Allah,” kata penyanyi kelahiran Sabah ini.

Terdahulu, penyanyi lagu Pulang itu tampil dengan drama rantaian pertama berjudul The Hotel. Menerusi drama itu, MK digandingkan bersama pelakon, Mira Filzah.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,609FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat