Ancaman berkembar Omicron dan Delta undang tsunami COVID-19 – WHO

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus mengakui gundah dengan gabungan dua varian iaitu Omicron dan Delta mampu mencetuskan tsunami kes COVID-19.

Pun begitu, Dr Tedros berharap tahun 2022 akan menjadi tahun dunia dapat menangani wabak itu.

“Virus ini akan terus berkembang dan mengancam sistem kesihatan kita jika kita tidak menambah baik tindak balas kolektif.

“Sekarang ini, Delta dan Omicron adalah ancaman berkembar yang mendorong peningkatan kes dan merekodkan angka tinggi, yang sekali lagi membawa kepada lonjakan kemasukan ke hospital dan kematian.

“Saya amat bimbang bahawa Omicron, yang lebih mudah berjangkit, beredar pada masa yang sama dengan Delta, membawa kepada tsunami kes,” katanya.

Pada masa sama, Dr Tedros sekali lagi menyelar negara kaya yang memburukkan lagi situasi wabak itu di seluruh dunia.

Katanya, negara kaya mengamalkan populisme, nasionalisme sempit serta tidak berkongsi alatan kesihatan.

Perkara itu, katanya, telah menjejaskan kesaksamaan dan juga mewujudkan situasi ideal yang membolehkan kemunculan varian baharu.

Jelasnya, jumlah angka korban pada tahun 2021 meningkat kepada 3.5 juta berbanding 1.8 juta pada tahun 2020.

Bagaimanapun Dr Tedros tetap optimis tahun 2022 boleh mengakhiri wabak yang membawa maut itu.

Menyedari bahawa 92 daripada 194 negara di seluruh dunia telah terlepas sasaran untuk memvaksin 40 peratus daripada populasi mereka, beliau menggesa kerajaan dan masyarakat sivil untuk menyertai kempen baharu bagi mencapai liputan global 70 peratus menjelang pertengahan 2022.

Di Malaysia, kes-kes baharu COVID-19 menunjukkan trend penurunan sejak beberapa minggu lalu dengan kes harian berada pada sekitar 3,000 jangkitan.

Bagaimanapun, kes-kes varian Omicron semakin banyak dikesan dan antara langkah diambil adalah melalui penyegeraan pemberian suntikan vaksin penggalak.

Selain itu, kerajaan turut mengetatkan kawalan di pintu masuk negara termasuk mewajibkan pemakaian peranti pengesan digital ke atas mereka yang datang dari negara berisiko tinggi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,609FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat