Pak Nil jejaki bintang legenda

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Selepas lebih tiga dekad mengabdikan diri dalam dunia seni, peluang pengacara disegani, Datuk Aznil Nawawi mendekati dan menelusuri perjalanan bintang legenda dianggap momen paling berharga.

Mengemudi program Yang Dulu, Aznil atau mesra disapa Pak Nil menganggap dirinya bertuah dapat menjejaki dan mendengar keluh kisah setiap seniman dan seniwati yang ditemuramah dalam rancangan istimewa itu.

“Selepas mengendalikan pelbagai bentuk program, saya takjub apabila ditawar mengacarakan program Yang Dulu.

“Ini memberi peluang kepada saya mendekatkan diri dengan artis lama. Ada antara mereka dianggap legenda dan otai.

“Program ini lebih kepada konsep bertanya khabar, mengorek kisah lama, harapan dan perkembangan terkini bintang veteran,” katanya.

 

Datuk Aznil Nawawi bertuah dapat mendengar keluh resah Datuk Rosnani Jamil, Salamiah Hassan dan Bob Lokman ketika ditemubual menerusi program Yang Dulu. - Foto Datuk Aznil Nawawi
Datuk Aznil Nawawi bertuah dapat mendengar keluh resah Datuk Rosnani Jamil, Salamiah Hassan dan Bob Lokman ketika ditemubual menerusi program Yang Dulu. – Foto Datuk Aznil Nawawi

 

Aznil mengaku tersentuh mendengar perkongsian hidup artis veteran yang ditemuinya sepanjang rakaman program berkenaan.

“Hati saya tersentuh… Saya juga jika dipanjangkan usia akan berada pada tahap mereka,” katanya yang memulakan penggambaran Yang Dulu di sebuah lokasi di Rawang, Selangor, sejak awal bulan ini.

Sepanjang pengisiannya, Aznil menemuramah 19 artis veteran. Mereka termasuk Datuk Rosnani Jamil; Datuk Jeffrydin; Datuk M Daud Kilau; Datuk Ahmad Nawab dan Datuk David Arumugam.

Turut ditemui Datuk Malek Noor; AR Badul; Louisa Chong; Ruminah Sidek dan Datuk Ahmad Tarmimi Siregar.

Produksi juga menyenaraikan Herman Tino; Fauziah Nawi; Uji Rashid; Hail Amir; Jaafar Onn; Man Keedal; Norlia Ghani; Bob Lokman dan Salamiah Hassan.

Program Yang Dulu dijangka disiarkan saluran Astro Prima, awal tahun depan.

Antara detik manis tidak dilupakan, Aznil berpeluang melawat kediaman Daud Kilau di Bagan Datoh, Perak.

 

Tidak ketinggalan, Fauziah Nawi, Datuk Malek Noor dan AR Badul berkongsi pengalaman dalam program Yang Dulu yang bakal bersiaran awal tahun depan. - Foto Datuk Aznil Nawawi
Tidak ketinggalan, Fauziah Nawi, Datuk Malek Noor dan AR Badul berkongsi pengalaman dalam program Yang Dulu yang bakal bersiaran awal tahun depan. – Foto Datuk Aznil Nawawi

 

“Banyak cerita yang dikongsi mereka termasuk rahsia bertahan lama. Saya mengutip pengalaman berharga ketika memikul tanggungjawab ini.

“Saya harap apabila disiarkan kelak, program ini akan menjadi panduan untuk anak seni sekarang dan pada masa depan,” katanya.

Aznil mengaku bergelar anak seni hanya indah dipandang mata.

“Hakikatnya, yang indah itu mungkin hanya sedikit sahaja kita nampak. Selebihnya, mungkin sebaliknya

“Saya berharap dapat menjadi seperti mereka yang ikhlas dalam perjuangan dan tidak mudah mengaku kalah pada ujian mendatang,” katanya yang pernah memenangi trofi Pengacara Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) sebanyak 10 kali.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat