Kesetiaan Nabila dikhianati?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menyelak semula helaian kisah yang pernah melingkari kehidupan peribadi Nabila Razali, sudah beberapa kali penyanyi dan pelakon popular ini diserang virus cinta, namun, hakikatnya, tiada satu pun menjangkitinya.

Meskipun pernah didakwa menjalinkan hubungan dengan beberapa selebriti seperti Khai Bahar, Hael Husaini dan MK K-Clique, semuanya hanya sekadar gosip liar yang kemudiannya hilang dibawa angin lalu.

Justeru, apabila secara tiba-tiba Nabila atau lebih mesra disapa Bella membuat pengakuan cintanya terlerai di tengah jalan, ia cukup mengejutkan ramai.

Mengimbau semula pengalaman yang amat menyakitkan, tanpa berselindung pemilik nama lengkap Nur Nabila Mohd Razali ini mendedahkan, perpisahan berlaku disebabkan kehadiran insan ketiga.

“Si dia bukanlah dalam orang seni dan usia kami lebih kurang sebaya. Saya sangkakan, dia gembira dan selesa dengan hubungan yang terjalin ini, namun, sebaliknya pula terjadi.

“Punca perpisahan disebabkan orang ketiga, tetapi saya tidak mahu menyalahkan sesiapa kerana cinta tidak boleh dipaksa. Walaupun perit untuk ditelan, namun, saya reda dan anggap kami memang tidak ditakdirkan untuk hidup bersama.

“Saya hanya mampu bersabar dan berdoa kepada yang Yang Maha Esa moga dipertemukan dengan pengganti yang boleh menyayangi dan menerima diri saya seadanya pada suatu masa nanti,” luahnya kepada BH Online.

Bagi penyanyi yang mula meledak menerusi lagu Cemburu dan Pematah Hati ini, pengakuannya itu pasti akan mengejutkan ramai kerana tidak pernah berkongsi soal hati dan perasaan sepanjang lapan tahun bergelar anak seni.

“Bagi saya, soal peribadi biarlah menjadi rahsia dan tidak perlu dihebahkan. Malah, keluarga saya tidak tahu yang anaknya ini pernah bercinta dan putus cinta.

“Cuma, saya rasa mahu berkongsi kisah yang tidak diinginkan ini, tetapi bukanlah sepenuhnya,” katanya yang baru sahaja meraikan ulang tahunnya ke-29 pada 13 November lalu.

Pendedahan dibuat pelakon drama rantaian, Hikayat Si Pematah Hati dan Kebaya Kasut Merah itu secara tidak langsung turut menjawab spekulasi yang bertebaran kononnya dikongkong pengurusnya, Mohd Asrul Abdul Talib atau Ash apabila dilarang untuk bercinta.

“Dakwaan itu tidak benar sama sekali. Saya tidak pernah dikongkong atau dilarang untuk menjalinkan hubungan cinta dengan mana-mana lelaki seperti yang didakwa,” tegasnya.

Walaupun kesetiaan dikhianati, namun, istilah serik mendambakan cinta sejati tidak pernah wujud dalam kamus hidup bekas graduan Graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Bina Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang itu.

“Setiap apa yang berlaku pasti ada rahmat di sebaliknya. Saya yakin dan percaya Allah pasti memberi ganjaran lebih baik buat saya selepas ini,” ujarnya optimis.

 

Suara hati Nabila dalam single Putus dedah kisah cintanya yang tidak kesampaian. - NSTP/Rohanis Shukri
Suara hati Nabila dalam single Putus dedah kisah cintanya yang tidak kesampaian. – NSTP/Rohanis Shukri

Segala kesedihan dan rintihan berperang dalam diri turut diluahkannya menerusi baharu berjudul Putus yang mula diperdengarkan kepada peminat sejak pertengahan bulan ini.

“Menerusi single Putus, saya berkongsi perasaan kecewa dan sedih kepada peminat. Ini juga suara hati saya kepada bekas kekasih dan berharap tidak akan melukakan perasaan wanita lain sebagaimana menyakiti hati ini,” katanya.

Single Putus mengetengahkan konsep balada menyaksikan buat julung kalinya Nabila menghasilkan lagu dan lirik berkolaborasi dengan komposer dari Singapura, Erwin Purnama.

“Saya terpaksa menggunakan media sosial ketika mencari single baharu selepas single Peluang Kedua. Hasilnya, saya mendapat lebih kurang 100 lagu.

“Selepas mendengar satu demi satu demo yang dihantar, akhirnya saya dan pasukan memilih karya ciptaan Erwin.

“Ketika itu, karya ini masih belum ada judul. Atas alasan ingin berkongsi pengalaman, akhirnya lirik lagu berjaya disiapkan.

“Sepanjang menyiapkan lirik lagu dan latihan sebelum merakamkan vokal, entah berapa kali air mata saya tumpah.

“Terdetik perasaan risau mengenangkan pasti saya akan menitiskan air mata apabila menyanyikan single Putus secara live,” katanya.

Yakin dengan penangan single Putus bersandarkan pada sambutan awal diberikan peminat, pihak pengurusan Nabila sudah merangka pelbagai strategi untuk terus mempromosikannya.

“Selepas karya, Putus akan menemui peminat dalam bentuk novel. Saya dan pasukan sudah mengenal pasti novelis yang bakal dipertanggungjawab untuk menyiapkan novel ini.

“Daripada novel, kami akan memindahkannya kepada skrip drama bersiri di mana saya sendiri adalah pelakonnya. Buat masa ini, kami masih mencari pelakon lelaki yang sesuai untuk digandingkan dengan saya.

“Video muzik Putus sudah disiapkan, hanya menunggu masa untuk ditayangkan,” ujarnya.

Single Putus boleh didengari dalam semua platform digital sejak 19 November lalu.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat