HSR: Tuntut semula pampasan yang dibayar – Aziz Kaprawi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan dinasihatkan untuk menuntut semula pampasan yang telah dibayar kepada Singapura sekiranya berhasrat menghidupkan semula Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang menghubungkan Malaysia- Singapura.

Syor itu disuarakan bekas Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi.

“Saya berharap agar kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mampu untuk berbincang supaya pampasan RM50 juta yang dibayar oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan RM320 juta yang dibayar oleh Kerajaan PN-Bersatu dapat dituntut semula,” gesa Aziz dalam catatan Facebooknya pada Selasa.

Beliau menyatakan bahawa Perdana Menteri telah membuat keputusan tepat untuk menghidupkan semula inisiatif Projek HSR KL-Singapura.

“Alhamdulillah, satu demi satu kerosakan yang dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan PH-Bersatu sedang dibaiki semula.

“Ismail Sabri telah mencadangkan untuk menghidupkan kembali Projek HSR Kuala Lumpur-Singapura kepada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan beliau menyambut baik serta terbuka untuk menerima cadangan baharu.

” Sebelum ini, rejim Kerajaan PH yang berfikiran cetek telah membatalkan projek ini dan kemudiannya lebih mengecewakan lagi ia digantikan pula dengan laluan yang ditamatkan di Johor Bahru oleh Kerajaan PN-Bersatu,” ujarnya.

Pun begitu menurut Aziz tidak ada gunanya sekiranya projek HSR ini diteruskan tetapi ditamatkan di Johor Bahru sahaja tanpa disambung ke Singapura kerana pasaran domestik tidak mampu memberikan pulangan yang berbaloi kepada negara seperti mana peluang yang disediakan oleh pasaran antarabangsa.

Katanya akibatnya, negara terpaksa menanggung kerugian apabila terpaksa membayar hampir RM400 juta kepada Kerajaan Singapura sebagai pampasan kerana membatalkan projek ini.

” Projek HSR telah dicartakan sebagai salah satu projek mega yang mampu mengubah landskap pembangunan ekonomi di negara kita.

” Ia juga dilihat mampu menyumbang kepada kepesatan ekonomi setempat, pemindahan teknologi tinggi, peluang pekerjaan dan kemasukan tenaga pakar ke dalam negara terutamanya dari Singapura serta menggandakan kadar pelancongan ke dalam negara.

” Laluan yang ditamatkan di Singapura juga mampu menyediakan ketersambungan logistik yang lebih efisien antara Malaysia-Singapura dan ia berupaya untuk membuka peluang pelaburan antarabangsa yang lebih luas,” jelas beliau.

Aziz juga berpandangan, limpahan ekonomi juga akan turut dirasai lebih-lebih lagi lokasi yang berdekatan di sepanjang laluan HSR terutamanya bandar yang berdekatan dengan stesen seperti Melaka dan Batu Pahat yang mana akhirnya ekonomi rakyat dapat dipertingkatkan dan seterusnya mengubah pola ekonomi setempat ke tahap yang lebih tinggi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat