KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak menyelar serangan yang dilempar tehadap Umno Sabah.
Bendahari Barisan Nasional (BN) Sabah itu mengingatkan, politik berasaskan kebencian tidak pernah membantu sesiapa.
“Terlalu banyak serangan terhadap Umno Sabah oleh sesetengah pemimpin akan memakan diri. .
“Politik seharusnya tentang idea, bukan penghinaan — tentang membina, bukan menjatuhkan orang lain.
“Kita harus bersaing berdasarkan isu sebenar, dasar yang baik, dan rekod perkhidmatan kita.
“Biar rakyat yang menilai siapa yang telah bekerja dengan ikhlas untuk mereka,” kata Adun Usukan itu.
Menurut Salleh, Umno Sabah percaya kepada politik positif menghormati pandangan yang berbeza sambil memberi tumpuan kepada pembangunan, kestabilan, dan kebajikan rakyat.
Tegas beliau, Sabah memerlukan pemimpin yang menyatukan rakyat, bukan memecah-belahkan mereka; yang memberi harapan, bukan kebencian.
“Mari kita mengatasi kebencian dan fokus pada kemajuan. UMNO Sabah akan terus berkhidmat dengan jujur dan bermaruah.
“Pada akhirnya, kerja yang baik dan keikhlasan akan sentiasa lebih berkesan daripada sebarang serangan,” katanya.



