Pusat Temu Duga SPA di UTC Ipoh sediakan kemudahan kondusif, profesional

Oleh Zihan Zari

IPOH – Pusat Temu Duga (PTD) Ipoh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) yang telah siap sepenuhnya kini menyediakan kemudahan yang lebih kondusif dan profesional kepada calon-calon dari seluruh Perak.

PTD ini dilengkapi dengan ruang temu duga, ruang menunggu, bilik rehat panel temu duga dan kemudahan tambahan lain bagi memastikan pengalaman temu duga yang lebih selesa dan efisien.

Pewujudannya adalah sangat penting dalam memberikan perkhidmatan berkaitan urusan temu duga kepada calon-calon serta menyediakan perkhidmatan konsultasi bagi memastikan penyampaian maklumat perkhidmatan SPA melalui saluran yang tepat dan betul, kata Pengerusi SPA dan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP), Dato’ Seri Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian PTD SPA Ipoh di Lot 42 & 43, Aras 3, Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak, Jalan Dato’ Onn Jaafar, dekat sini baru-baru.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha (Pengurusan) Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Nor Sham Rahman; Timbalan Pengerusi SPA, Datuk Zohari Said; Setiausaha SPA, Datuk Ikhbal Hanam Mukras; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Ipoh, Zamakhshari Hanipah; Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan Jabatan Digital Negara, Dr. Phan Yng Yih; dan Pengurus Besar UTC Ipoh, Abdul Halim Saad.

Dr. Ahmad Jailani berkata dalam memastikan keselesaan pengunjung dan mengambil kira kepentingan perkhidmatan bagi semua agensi penyedia perkhidmatan di UTC Ipoh, SPA telah bersetuju dengan cadangan penambahbaikan fasiliti agensi penyedia perkhidmatan perlu dilaksanakan di mana cadangan penempatan semula PTD SPA Ipoh telah diusulkan.

Menurut beliau, sesi perbincangan berhubung urusan penempatan semula PTD SPA Ipoh ini telah bermula sejak Jun tahun lalu antara pihak Pengurusan UTC Perak bersama SPA dan beberapa sesi perbincangan serta lawatan tapak telah dilaksanakan oleh kedua-dua pihak sepanjang tempoh masa tersebut.

Menurutnya lagi, kerja-kerja pengubahsuaian telah dilakukan pada 13 Disember 2024 dan siap sepenuhnya pada 30 Mac lalu dan akhirnya PTD SPA Ipoh berjaya dipindahkan ke lot yang baharu di Lot 42 dan 43, Aras 3, UTC Ipoh mulai 14 April lalu dengan keluasan 2,776 kaki persegi iaitu keluasan yang lebih besar daripada lot sebelum ini.

“Sesungguhnya usaha ini membuktikan komitmen dan kerjasama strategik antara agensi kerajaan adalah sangat penting dalam merealisasikan penyampaian perkhidmatan awam yang cemerlang, selaras dengan Teras Keberhasilan Reformasi (TKR) Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam.

“Selain itu, urusan perpindahan PTD SPA Ipoh ini juga selari dengan kriteria pemilihan PTD SPA iaitu selamat, strategik, selesa, sokongan dan serbaneka bagi memberikan perkhidmatan yang baik dan selesa kepada pengunjung,”katanya.

Ujarnya, berdasarkan statistik tahun 2024, urusan temu duga SPA di Perak adalah sebanyak 137 urusan dengan bilangan calon seramai 12,298. Terdapat peningkatan yang signifikan sebanyak 70 peratus (%) bagi jumlah calon yang hadir ke temu duga SPA di negeri ini berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Justeru, statistik perbandingan ini jelas menunjukkan bahawa pewujudan PTD SPA adalah amat penting bagi memberikan kemudahan akses temu duga kepada calon di negeri Perak.

“Situasi ini jelas memperlihatkan permintaan calon yang tinggi bagi kemasukan ke dalam perkhidmatan awam dan fungsi SPA masih relevan sebagai peneraju pihak berkuasa melantik ke dalam perkhidmatan awam dan berperanan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang fungsi dan peranan SPA dalam melaksanakan urusan pengambilan ke perkhidmatan awam selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI,”ujarnya lagi.

Tambahnya, dalam melaksanakan fungsi melantik penjawat awam yang telus dan berintegriti, warga kerja SPA seharusnya menanam tekad dan keazaman untuk berkhidmat dengan penuh amanah dan berintegriti.

“Nilai amanah dan integriti ini amatlah bertepatan dengan konsep C.E.M.E.R.L.A.N.G dan sering kali ditekankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pelbagai siri program bersama penjawat awam.

“Sebagai pemegang amanah yang menjalankan fungsi SPA, marilah kita bersama-sama memperkukuh pembudayaan integriti dan penghayatan nilai murni dalam perkhidmatan awam demi memastikan amalan tadbir urus yang telus dan berakauntabiliti demi masa depan negara,”tambahnya lagi.

Dalam pada itu, PTD SPA Ipoh turut dilengkapi dengan kemudahan internet kepada calon untuk menduduki Penilaian Memasuki Perkhidmatan Awam (PSEE) – Ujian Psikometrik, konsultasi berkaitan Sistem Pendaftaran Pekerjaan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA9), konsultasi pengambilan ke perkhidmatan awam dan pelbagai lagi.

Orang ramai dan calon-calon pemohon pekerjaan yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkhidmatan yang ditawarkan di PTD SPA Ipoh boleh melayari laman sesawang rasmi SPA di https://spa.gov.my atau menghubungi talian 05-246 1568.

Selain itu, tempahan slot janji temu boleh dibuat melalui Pusat Temu Duga Plus (PTD PLUS) di pautan https://janjitemu.spa.gov.my bagi urusan pendaftaran pekerjaan, semakan status permohonan SPA9, serta konsultasi urusan pengambilan ke perkhidmatan awam.-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat