KUALA LUMPUR– Umno Terengganu tidak menolak kemungkinan untuk menilai semula kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sekiranya gabungan itu dilihat tidak memberi kelebihan kepada parti berkenaan.
Timbalan Pengerusinya Datuk Nik Dir Nik Wan Ku berkata, walaupun kerjasama dengan PH dijalin atas semangat perpaduan di peringkat pusat, realiti politik di Terengganu menunjukkan hanya Umno dan Pas yang benar-benar mendapat tempat di hati rakyat.
“Kita bukan menolak kerjasama, tetapi perlu berpijak pada realiti. Di Terengganu, parti lain selain Umno dan Pas masih sukar diterima.
“Kalau kita beri laluan kepada PH bertanding, mereka hanya mampu meraih undi kecil walaupun dibantu jentera UMNO,” katanya ketika ditemui di Pejabat Umno Terengganu lapor Sinar Harian.
Nik Dir berkata, situasi itu dapat dilihat dalam beberapa kerusi yang ditandingi calon PH pada pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini.
“Saya bukan mahu menidakkan kehadiran PH, PKR dan Amanah, tapi kita dah bagi (kerusi). Parlimen Marang bagi PH bertanding di situ, namun hanya dapat 3,000 undi daripada 140,000 pengundi.
“Contoh di DUN Ru Rendang, ‘huduh-huduh’ saya pun bertanding di situ dapat juga 9,000 undi, tapi pada PRU lepas kita bagi kepada Amanah hanya dapat 2,000 lebih undi. Jadi kalau kita bagi (kerusi) pada mereka, sokongan kepada Umno akan terhakis,” ujar beliau.
Beliau menegaskan, Umno perlu bersikap terbuka dengan menilai semula strategi gabungan, termasuk pemilihan calon yang benar-benar boleh menang bagi memulihkan kembali sokongan rakyat.
“Rakyat di Terengganu ini lebih cenderung kepada parti Melayu. Jadi, UMNO kena realistik dan bijak membaca suasana tempatan.
“Bagi kita, kita akan nilai semula (kerjasama), tapi oleh kerana kita berada dalam kerajaan yang sama, kita terpaksa berunding terlebih dahulu,” katanya.



