Oleh Datuk Prof Dr Mohd Faiz Abdullah
Jika rakyat Malaysia yang mengikuti berita tertanya-tanya sama ada segala kemeriahan di sekitar Sidang Kemuncak ASEAN yang baru berakhir itu sekadar persembahan, mereka tidaklah sepenuhnya silap.
Sidang kemuncak besar dan acara gemilang ibarat irama dan lagu sarat dengan adat istiadat dan kemegahan. Tanyalah penganjur bergilir BRICS atau G20, atau kota Davos dan New York ketika WEF dan UNGA berlangsung setiap tahun.
Kuala Lumpur bukan sekadar menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak ASEAN paling padat dalam ingatan mutakhir; ia melakukannya pada saat genting dalam sejarah satu pencapaian luar biasa walaupun bagi tuan rumah paling berpengalaman.
Namun jangan silap apa yang berlaku di dewan-dewan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan hotel-hotel sekitarnya bukan sekadar perbarisan rasmi, tetapi tarian diplomasi moden yang rumit kompleks, pantas, namun lembut dan halus. Ia adalah kemuncak kepada hampir dua tahun penyelarasan, strategi, dan ketekunan rangkaian kejayaan serta kompromi kreatif.
Para pegawai Malaysia, khususnya mereka dalam Pasukan Petugas Peringkat Tinggi yang mempengerusikan bersama Wawasan ASEAN 2045 dan Deklarasi Kuala Lumpur, bekerja dengan senyap namun tekun untuk menjadikannya kenyataan. Dan ya, terdapat kompromi itulah harga konsensus dan seni tadbir urus.
Trump, Tarif dan Keamanan
Berjaya meyakinkan seorang Presiden Amerika yang skeptikal yang sebelum ini hanya menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN sekali untuk kembali merupakan satu pencapaian diplomatik yang luar biasa hasil ketekunan Malaysia.
Donald Trump mungkin terkenal dengan sifat tidak dapat dijangka dan kecenderungannya mencetuskan polarisasi pandangan, namun tidak dapat dinafikan kedudukan dan pengaruh jawatannya terhadap rantau ini.
Penglibatannya di bumi ASEAN penuh semangat namun sarat isi menjadi pengiktirafan terhadap kecekalan Malaysia serta isyarat kepada kebangkitan semula relevansi ASEAN.
Pemangkin utama ialah perjanjian damai antara Kemboja dan Thailand yang dimediasi melalui diplomasi berterusan Malaysia dan ditandatangani bersama oleh Trump serta Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Dalam keadaan yang tegang, ia merupakan kemenangan manis.
Kedua-dua pemimpin tidak menyembunyikan kesukaran memujuk dua jiran yang tegas untuk berundur dari ambang konflik, namun kedua-duanya mengakui bahawa keamanan walaupun tidak sempurna kekal satu-satunya jalan yang munasabah.
Perjanjian itu mungkin tidak menyelesaikan semua pertikaian asas, tetapi sekurang-kurangnya mengembalikan ketenangan sementara.
Geopolitik Kolaboratif
Kehadiran Brazil dan Afrika Selatan sebagai Tetamu Pengerusi tahun ini menjadi satu lagi tanda diplomasi Malaysia yang berpandangan jauh, bertujuan memperluas perkongsian global ASEAN.
Ini melanjutkan keberanian Malaysia awal tahun ini apabila menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN–GCC–China yang julung kali diadakan.
Dalam dunia yang memerlukan hubungan dengan Washington dan Beijing tetapi semakin sarat ketegangan, pendekatan antara serantau (inter-regionalism) menjadi taruhan terbaik ASEAN.
Ia mencerminkan keyakinan Malaysia bahawa jalan ke hadapan bagi ASEAN bukan dengan berundur ke dalam sempadan sendiri, tetapi dengan berdepan dunia dengan tenang dan berprinsip.
Satu lagi detik penting ialah ulang tahun ke-20 Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) — satu proses yang dipimpin oleh para pemimpin dan lahir di Kuala Lumpur sendiri. Ditubuhkan sebagai forum jujur bagi dialog strategik, politik dan ekonomi, EAS sering dikritik kerana terlalu skrip dan kurang spontan hingga kehilangan ketajamannya.
Saya sendiri pernah menganggapnya “koma”, mungkin agak keterlaluan. Namun kini tidak lagi. Malaysia dan negara anggota lain layak diberi pujian kerana berjaya mengembalikan makna asal forum itu dengan Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Keamanan dan Kestabilan, ia menjadi kenyataan bersama pertama dalam tiga tahun yang mendapat persetujuan semua anggota EAS.
Percubaan sebelumnya di Jakarta dan Vientiane gagal akibat kecenderungan kuasa besar menjadikan platform itu medan pertempuran diplomatik.
Dalam jangka panjang, anggota EAS perlu menilai semula fungsi mekanisme ini agar benar-benar relevan. ASEAN tidak mampu melakukannya sendirian; ia memerlukan pelaburan sebenar daripada rakan dialog utama yang mahu memastikan forum ini kekal konstruktif, bukan konfrontasi.
Pendalaman Perdagangan dan Teknologi
Malaysia menggunakan peranannya sebagai Pengerusi ASEAN 2025 untuk memperdalam hubungan ekonomi dalaman rantau agar ASEAN kurang terdedah kepada kejutan tarif dan tekanan geoekonomi.
Ini termasuk menaik taraf peraturan sedia ada seperti Second Protocol to Amend the ASEAN Trade in Goods Agreement (ATIGA) yang bukan sekadar memotong tarif, tetapi memodenkan peraturan kastam dan memperbaiki penyelesaian pertikaian bagi mempercepat urusan rentas sempadan.
Begitu juga dengan ASEAN–China Free Trade Area (ACFTA 3.0) yang diperluas kepada sektor digital dan hijau, menunjukkan niat ASEAN mengekalkan akses pasaran China walaupun tarif AS semakin ketat.
Serentak, ASEAN mengumumkan “penyelesaian substantif” rundingan ASEAN Digital Economy Framework Agreement (DEFA) yang menyasarkan penyelarasan peraturan aliran data, e-dagang, dan pembayaran digital dengan pemeteraian dijangka pada 2026.
Kuala Lumpur turut menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Pemimpin RCEP pertama sejak perjanjian itu berkuat kuasa pada 2022, dengan para pemimpin menekankan keperluan memperkukuh pelaksanaan penuh menjelang semakan 2027.
Namun, persoalan besar kekal bolehkah ASEAN benar-benar meningkatkan perdagangan intra-ASEAN dan menyeimbangkan risiko geoekonomi luar? Intra-ASEAN masih sekitar 20% daripada jumlah perdagangan serantau, tidak banyak berubah sejak dua dekad lalu meskipun tarif hampir sifar.
Halangan bukan tarif terus menjerut pertumbuhan, sementara penggunaan perjanjian perdagangan sedia ada masih rendah. Penyelesaiannya bukan sekadar menandatangani lebih banyak perjanjian baharu.
Langkah-langkah terkini bagaimanapun memberi sedikit harapan. ATIGA baharu memberi tumpuan terhadap pengurangan halangan bukan tarif dan geseran kastam, DEFA dijangka memperkukuh integrasi digital, manakala ASEAN Framework for an Integrated Semiconductor Supply Chain (AFISS) mampu membuka aliran pelaburan rentas sempadan bagi memperkukuh jaringan pengeluaran serantau.
Namun cabaran masih besar penguatkuasaan ASEAN lemah, ATIGA hanya berkesan selepas ratifikasi penuh dan tempoh peralihan 18 bulan, DEFA belum ditandatangani, AFISS pula masih di peringkat pelaksanaan. Kemasukan Timor-Leste menambah cabaran baharu sebagai negara kurang membangun yang memerlukan sokongan peraturan dan infrastruktur jangka panjang.
Untuk bergerak ke hadapan, blok ini perlu lebih tegas menyelaras peraturan, menggalakkan pelaburan dalaman, meningkatkan mobiliti serantau dan memperdalam integrasi rantaian bekalan. Semua ini perlu berpaksikan Pelan Strategik Komuniti Ekonomi ASEAN 2026–2030 serta pelaksanaan sebenar DEFA dan AFISS.
Dalam bidang teknologi, para pemimpin ASEAN di pelbagai sidang menekankan inklusiviti digital dan usaha merapatkan jurang transformasi digital. Ketika rantau ini berdepan perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) serta kesannya terhadap politik, ekonomi dan sosial, ASEAN perlu bersedia lebih awal, bukan sekadar mengejar arus.
Kepimpinan dan Kedudukan Strategik Malaysia
Tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa tahun ini menyaksikan ASEAN benar-benar diangkat ke tahap baharu visinya lebih tajam, perkongsiannya lebih luas, keyakinannya diperbaharui.
Dengan penyertaan rasmi Timor-Leste sebagai ahli ke-11, ASEAN kini lengkap sebagai komuniti Asia Tenggara sejati.
Baton kini diserahkan kepada Filipina yang akan mempengerusikan tahun depan dan berdasarkan kesediaan serta kejelasan Manila, masa depan ASEAN tampak terjamin.
Tamatnya musim sidang kali ini melambangkan kejayaan kolektif diplomat, agensi dan rakan Malaysia yang bekerja tanpa henti demi hasil yang bermakna.
Tidak semua kejayaan mutlak dicapai, tetapi keputusan keseluruhan amat memberangsangkan. Kepengerusian Malaysia telah mengembalikan keyakinan rantau ini terhadap kuasa koordinasi yang senyap tetapi berkesan, dan nilai ketekunan dalam diplomasi.
Lebih mendalam, ia mencerminkan kebangkitan semula visi dan pelaksanaan dasar luar Malaysia sejak 2023 dipandu oleh diplomasi aktif Perdana Menteri serta kejelasan tujuannya.
Pendekatannya menggabungkan prinsip dengan pragmatisme, pesona dengan keterbukaan, dan keyakinan bahawa suara Malaysia mesti didengar bukan sekadar dicatat, apatah lagi diketepikan.
Di bawah kepimpinan beliau, Malaysia muncul semula sebagai pengantara berwibawa dan jambatan kukuh dalam dunia bergelora. Ia membuktikan bahawa kuasa kecil dan sederhana masih mampu bertindak berasaskan prinsip dan kejelasan moral.
Dalam rantau yang sering menjadi gelanggang kuasa besar, Malaysia memilih untuk berinteraksi tanpa tunduk, berkeyakinan tanpa angkuh, dan bebas tanpa terasing.
Cabaran seterusnya ialah memastikan momentum ini berterusan selepas sorotan lampu padam menterjemah kata-kata menjadi institusi dan perkongsian kekal.
Bagi ASEAN dan Malaysia, tugasnya kini ialah memastikan irama diplomasi ini terus berdenyut lama selepas gema sidang berakhir.
Jika semangat itu terus hidup, kepengerusian ASEAN oleh Kuala Lumpur akan dikenang bukan kerana kemegahannya, tetapi kerana ketenangan dan kejelasan tujuannya.
*Datuk Prof Dr Mohd Faiz Abdullah ialah Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia.
- Ini adalah terjemahan bebas dari artikel asal beliau dalam bahasa Inggeris yang berjudul “Beyond the Summitry – Elevating ASEAN’s Promise and Playing Field”. m



